suria

Maria Anggap Sosma Sebagai Ujian, Pengalaman

KUALA LUMPUR: Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah menyifatkan penahanannya selama 10 hari di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) sebagai "ujian" selepas disoal siasat selama beberapa jam setiap hari.

"Anda boleh menganggapnya (penahanan) sebagai satu pengalaman. Ia merupakan ujian terhadap kesabaran ketika saya disiasat setiap hari," katanya kepada pemberita di Perkarangan Mahkamah Kuala Lumpur pada Selasa.

Beliau berkata, semasa beberapa hari penahanan awal, sesi soal siasat berlangsung selama lapan jam pada setiap hari.

Namun selepas kunjungan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pada Rabu lepas, sesi tersebut dikurangkan kepada enam jam.

"Mereke bertanyakan soalan yang sama berulang kali..tentang bank akaun kami, media sosial, siapa yang mengendalikan kandungan laman web kami.

"Saya menjawab semua soalan mereka kerana tiada apa yang perlu disembunyikan," katanya.

Maria menyifatkan tempat tahanannya yang tidak mempunyai saluran udara yang baik atau dimasuki udara segar, serta tidak tahun lokasi tahanannya.

"Setiap kali saya dibawa keluar dari bilik tahanan, mereka akan menutup mata dan menggari tangan menyebabkan saya tidak tahu di mana saya berada.

"Lampu sentiasa dipasang dan apabila saya bangun tidur, saya tidak tahu sama ada waktu tersebut siang atau malam," jelasnya.

Selepas lawatan Suhakam, beliau diberikan tilam, bantal dan selimut.

Beliau turut diberikan senaskah Al Quran oleh polis, bukan naskah miliknya yang diminta.

Maria berkata, beliau turut dibenarkan mengambil ubat dan diperiksa doktor sekali seminggu.

Namun beliau tidak dibenarkan bertemu peguam atau ahli keluarganya.

Mengulas tentang kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar bahawa beliau mungkin ditahan semula di bawah Akta Perhimpunan Aman, Maria menganggap kenyataan itu sebagai ugutan.

"Mereka perlu memberi sebab. Atas sebab apa mereka menggunakan akta itu jika perhimpunan diadakan secara aman.

"Bersih diadakan dengan aman. Tiada rusuhan, kerosakan dan pertumpahan darah," katanya. - BERNAMA

Maria Chin Abdullah, Sosma

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain