suria

Bekas Lans Koperal Dipenjara 20 Tahun, 15 Sebatan

PETALING JAYA: Seorang bekas Lans Koperal polis dihukum penjara 20 tahun dan 15 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini Selasa kerana merogol, melakukan seks luar tabii dan mengugut seorang pelajar kolej di sebuah tandas lelaki, tahun lepas.

Hakim Azhaniz Teh Azman Teh menjatuhi hukuman itu terhadap Muhamad Fazrul Fauzi, 31, setelah mendapatinya bersalah atas tiga pertuduhan itu dan selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Azhaniz Teh menjatuhi hukuman penjara 20 tahun dan 10 sebatan kerana merogol; penjara 10 tahun dan lima sebatan bagi pertuduhan seks luar tabii; serta penjara lima tahun bagi kesalahan mengugut.

Mahkamah memerintahkan ketiga-tiga hukuman penjara itu berjalan serentak.

Mahkamah juga membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman dengan menaikkan jumlah jaminan daripada RM35,000 kepada RM55,000 sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Tertuduh didakwa merogol dan melakukan seks luar tabii terhadap pelajar wanita yang ketika itu berusia 18 tahun 11 bulan dengan menggunakan kedudukan kuasanya sebagai anggota polis.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di sebuah tandas lelaki di Dataran Sunway, Jalan PJU 5/13, di sini, antara 1 pagi hingga 1.45 pagi, pada 27 Januari 2015.

Bagi kesalahan merogol, dia didakwa mengikut Seksyen 376 (2)(f) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh disebat, manakala bagi seks luar tabii, dia didakwa menurut Seksyen 377B kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.

Muhammad Fazrul turut didakwa dengan sengaja mendatangkan ketakutan terhadap mangsa sama iaitu dengan mengugutnya untuk dibuang kolej dan ditangkap Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sehingga mendorong wanita itu menyerahkan wang RM500 dan mengadakan persetubuhan pada masa, tempat dan tarikh yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Datuk Ahmad Zaharil Muhayar memohon mahkamah menjatuhi hukuman yang rendah atas alasan tertuduh merupakan penanggung utama keluarga.

"Tertuduh sudah berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia selama 10 tahun, saya memohon mahkamah mempertimbangkan faktor ini dan memberi peluang kepadanya untuk berubah," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nur Aishah Ahmad Zakiuddin memohon mahkamah menjatuhi hukuman berat terhadap tertuduh kerana sebagai seorang anggota polis, dia tidak sepatutnya mengambil kesempatan terhadap gadis itu yang merupakan seorang pelajar.

"Dalam kes itu, tertuduh sepatutnya menyerahkan gadis tersebut kepada pihak berkuasa iaitu JAIS dan tidak seharusnya mengajak mangsa keluar setelah dibawa ke balai untuk melakukan perkara sedemikian (rogol, seks luar tabii dan ugut)," katanya.

Menurut fakta kes, pada hari kejadian, mangsa ditangkap ketika bercumbu bersama teman lelakinya di dalam sebuah kereta oleh tertuduh yang merupakan seorang anggota di Balai Polis Kota Damansara.

Ketika kejadian, tertuduh yang sedang melakukan rondaan menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) telah menahan pasangan tersebut di tepi jalan sekitar kawasan Kota Damansara.

Tertuduh kemudian membawa mangsa ke balai polis namun tidak menyerahkan mangsa ke pihak yang bertanggungjawab, sebaliknya membawa mangsa keluar dan seterusnya bertindak merogol, melakukan seks luar tabii dan mengugutnya. - BERNAMA

bekas Lans Koperal, mahkamah, rogol

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain