suria

PRU-14: Umno Tolak 'Calon Resume'

KUALA LUMPUR: Hanya pemimpin yang berkualiti dan dikehendaki rakyat akan diketengahkan sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin berkata, menerusi taklimat yang disampaikannya, Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu kelayakan akademik bukan jaminan untuk seseorang itu dipilih mewakili parti itu sebagai calon Barisan Nasional (BN).

"Presiden tekankan bahawa mereka yang patut mewakili parti dalam pilihan raya akan datang ialah mereka yang betul-betul dikehendaki rakyat, calon yang boleh memenangkan parti.

“Bukan calon bijak pandai, bukan calon yang mempunyai resume terbaik, tapi calon yang benar-benar rakyat mahukan,” katanya pada Selasa.

Khaled berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Taklimat Presiden yang diadakan secara tertutup sempena Perhimpunan Agung Umno 2016 (PAU2016) di sini.

Perhimpunan tahunan ini dikatakan yang terakhir sebelum parti itu berhadapan PRU-14 yang perlu diadakan selewat-lewatnya pada 2018.

Selain itu, Khaled berkata, Najib turut menyeru pemimpin Umno supaya memberi khidmat secara inklusif kepada semua rakyat tanpa membataskan kepada ahli parti semata-mata.

“Umno sewajarnya bergerak bukan sahaja untuk ahli Umno tapi terus beri khidmat kepada rakyat," katanya.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain