suria

Selangor Dibenar Tangguh Persempadanan Semula

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini Isnin membenarkan permohonan Kerajaan Selangor untuk mendapatkan penangguhan sementara prosiding penyiasatan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan negeri di Selangor.

Pesuruhjaya Kehakiman Azizul Azmi Adnan dalam keputusannya berkata penangguhan itu diberi sementara menunggu pendengaran permohonan kerajaan Selangor pada 16 Disember untuk mendapatkan kebenaran agar diadakan semakan kehakiman.

Katanya penangguhan itu diberi kerana terdapat keadaan istimewa dan keputusan berkenaan tidak akan mewujudkan prejudis terhadap SPR mengenai "pengekalan status quo".

Menurut Azizul, sekiranya beliau menafikan penangguhan itu dan penyiasatan diteruskan, permohonan kebenaran oleh Kerajaan Selangor akan hanya menjadi bersifat akademik.

Mahkamah membuat keputusan itu setelah mendengar hujah peguam Datuk S.Ambiga, yang mewakili kerajaan negeri dan Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan, yang bertindak bagi pihak SPR, pengerusinya, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah serta setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh.

Pada 19 Oktober, Kerajaan Selangor, yang diwakili Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran untuk mencabar cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan negeri di Selangor oleh SPR.

Beliau memohon mendapatkan perisytiharan bahawa cadangan persempadanan semula itu, yang dibuat berdasarkan satu kajian SPR pada 2016, adalah tidak mengikut perlembagaan, bercanggah dengan Fasal 2(c) dan 2(d) Perkara 113(2) Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan, dan oleh itu adalah tidak sah dan terbatal.

Mohamed Azmin, yang juga anggota Parlimen Gombak, turut memohon mendapatkan perisytiharan bahawa kegagalan SPR menggunakan rang daftar pemilih terbaru dalam melaksanakan persempadanan semula itu adalah tidak mengikut Seksyen 3 Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan, dan oleh itu adalah tidak sah dan terbatal.

Beliau memfailkan permohonan itu dengan alasan tindakan SPR tidak mengikut perlembagaan, tidak wajar dan tidak rasional mengikut Perkara 113(2) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga memohon relif lain, termasuk perisytiharan bahawa notis yang disiarkan tidak mempunyai butiran lengkap, di mana pemilih biasa, pihak berkuasa tempatan atau kerajaan negeri tidak dapat menunaikan hak mereka untuk membuat representasi. - BERNAMA

SPR, Mohamed Azmin Ali

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain