suria

Buat Laporan Palsu, Pengarah Syarikat Didenda RM4,000

PETALING JAYA: Seorang pengarah syarikat wanita didenda RM4,000 atau penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, Isnin kerana membuat laporan polis palsu.

Majistret Atiqah Abd Karim@Husaini menjatuhkan hukuman itu terhadap Khang Siew Ling, 44, setelah dia mengaku bersalah memberi atau mereka keterangan palsu secara bertulis dalam laporan polis yang boleh menyebabkan seorang lelaki disabitkan dengan kesalahan mengugut.

Tindakan itu dilakukan dengan niat agar lelaki berkenaan yang juga seorang ahli perniagaan didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan mengugut.

Khang didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Pegawai Penyiasat Jenayah Zon 3, Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, di sini pada 8.43 malam, 7 November lalu mengikut Seksyen 195 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya N. Sivashangari memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam agar tidak melakukan kesalahan sama.

"Perbuatan tertuduh bukan sahaja salah di sisi undang-undang, malah telah membuang masa pihak polis yang telah memulakan siasatan," katanya.

Tertuduh yang diwakili peguam Datin Raj Preet Kaur memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda yang ringan kerana itu merupakan kesalahan pertamanya.

Di mahkamah sama, seorang mekanik, Teh Weng Horng dijatuhkan hukuman penjara empat bulan selepas mengaku bersalah mencuri sebuah dompet milik seorang akauntan Farrel Tayne, 30, di Restoran Kayu Manis, tingkat bawah 19 City Mall, USJ 19, Subang Jaya, di sini pada 10.30 malam, 24 November lalu.

Mahkamah memerintahkan Teh, 23, menjalani hukuman itu bermula Isnin.

N. Sivashangari memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia merupakan penanggung utama keluarga.

Terdahulu, mengikut fakta kes, mangsa yang sedang makan malam di restoran itu telah meletakkan dompetnya di atas meja sebelum tertuduh yang datang dari arah belakang mengambil dompet tersebut dan berlari keluar dari restoran itu.

Mangsa terus mengejarnya dan tertuduh berjaya ditangkap oleh orang ramai di luar restoran tersebut sebelum diserahkan kepada polis. - BERNAMA

Laporan Palsu

Artikel Sebelum

Artikel Lain