suria

Ibu Tunggal Ditemukan Mati Dengan Kesan Pukulan

GAMBAR HIASAN

MARANG: Seorang ibu tunggal warga Thailand ditemui mati dengan kira-kira sembilan kesan pukulan di bahagian kepala di Kampung Che Jah, Binjai Rendah di sini, malam Ahad.

Mangsa, Hayimatiyoh @ Sharipah, 35, yang juga seorang peniaga barangan plastik di pasar borong, Gong Pauh, Kuala Terengganu dijumpai terbaring di bahagian dapur rumah oleh pekerjanya kira-kira pukul 7.30 malam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata  pihaknya percaya mangsa dibelasah pekerja lelakinya yang berumur dalam lingkungan 20-an dengan menggunakan kayu berukuran 30 sentimeter.

"Kita percaya kejadian ini mungkin berlaku lebih awal sekitar pukul 2.30 petang namun hanya disedari sekitar 7.30 malam selepas pekerjanya pulang daripada berniaga.

"Difahamkan pekerja wanita itu yang juga sepupunya mendapati pintu rumah berkunci dan ketika masuk, dia menemui mangsa dalam keadaan terbaring dengan badannya berlumuran darah. Hasil siasatan kita menemui beberapa kesan kecederaan pada bahagian kepala," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

Wan Abdul Aziz berkata mangsa telah menetap di rumah berkenaan kira-kira 15 tahun lalu bersama seorang anak bersama dua pekerjanya yang juga berasal dari Thailand.

Menerusi siasatan, polis kemudian menjumpai kayu yang digunakan untuk memukul suspek di dalam bakul sampah berhampiran tempat mangsa terbaring.

Katanya, sebelum kejadian jiran mangsa ada mendengar jeritan mangsa dan melihat kelibat suspek. Setelah ditanya jirannya itu suspek memaklumkan ada ular di dalam rumah sebelum meninggalkan kawasan itu.

Wan Abdul Aziz berkata motif sebenar kejadian masih dalam siasatan dan suspek didapati melarikan diri menuju ke Lebuhraya Pantai Timur.

"Kita tidak menolak kemungkinan suspek adalah seorang penagih dadah dan bekerja bersama mangsa kira-kira lima bulan lalu. Siasatan juga mendapati suspek sering mengugut mangsa untuk mendapatkan wang.

"Mangsa juga sebelum ini dikatakan akan memberhentikan suspek ekoran sering diugut," katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk dibedah siasat.

"Kita juga akan bekerjasama dengan pihak Interpol bagi mengesan suspek selain melakukan sekatan di kawasan sempadan," katanya. - BERNAMA

Ibu Tunggal, Kesan Pukulan

Artikel Berikut

Artikel Lain