suria

Maria Chin Dibebaskan

Maria Chin Abdullah.

KUALA LUMPUR: Pengerusi Bersih 5.0, Maria Chin Abdullah dibebaskan pada Isnin selepas ditahan sejak 18 November lalu mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), menurut polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Rusdi Mohd Isa ketika dihubungi Bernama mengesahkan pembebasan Maria, namun enggan mengulas lanjut.

Rusdi berkata, Maria dibebaskan kira-kira 4.30 petang.

Pada 23 November lepas, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dilaporkan berkata, penahanan Maria tiada kena mengena dengan perhimpunan Bersih yang diadakan pada 19 November tetapi dibuat di bawah Sosma kerana boleh menggugat keselamatan negara. 

Menurut Khalid, di bawah akta berkenaan, polis boleh menahan Maria selama 28 hari bagi menyiasat setiap bukti yang ditemukan di pejabatnya. - Bernama

Artikel Lain