suria

Gangguan Bekalan Air Di Kuala Lumpur, Gombak

KUALA LUMPUR: Beberapa kawasan di Kuala Lumpur dan Gombak sedang mengalami gangguan bekalan air disebabkan pengurangan pengepaman air mentah ke loji rawatan air di Sungai Selangor Fasa 1 dan 3.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dalam kenyataan di sini pada Isnin berkata pengepaman air mentah ke loji itu terganggu akibat longgokan sampah di muka sauk, selepas benteng sampah di sungai terputus akibat paras air sungai yang tinggi.

Antara kawasan yang terlibat adalah Bukit Antarabangsa, Setapak Jaya, Taman Sri Rampai dan Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Jalan Semarak.

"Segala usaha sedang dilaksanakan untuk memulihkan pengepaman air mentah ke loji rawatan air. Tempoh pemulihan ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, bantuan bekalan air sedang dihantar dengan lori tangki ke kawasan yang mengalami gangguan sehingga bekalan air pulih sepenuhnya.

Syabas berkata pengguna boleh memohon bantuan bekalan air dengan menghantar SMS ke 15300 dengan menaip: TANKER<jarak>Nama  and  Alamat.

Untuk keterangan lanjut, pengguna boleh mendapatkan status terkini mengenai kerja-kerja pembaikan melalui aplikasi telefon bimbit pintar, "mySyabas", www.syabas.com.my, atau laman Facebook "Puspel Syabas" atau "Air Selangor". - BERNAMA

Bekalan Air, Syabas

Artikel Berikut

Artikel Lain