suria

Kelab Umno Luar Negara Pantau Ekstremisme

KUALA LUMPUR: Kelab Umno Luar Negara (KULN) menjadi mata dan telinga Kedutaan Malaysia bagi memantau aktiviti pelajar di luar negara untuk mengelakkan mereka terjerumus dalam kegiatan ekstremisme.  

Presiden KULN Auckland, New Zealand Siti Nurbaya Esa berkata KULN yangsememangnya mempunyai hubungan rapat dengan kedutaan akan menyalurkan maklumat mengenai sebarang aktiviti pelajar yang didapati mencurigakan. 

"Setiap pelajar Malaysia yang belajar di luar negara wajib berdaftar dengan Education Malaysia (EM) yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal pelajar Malaysia di luar negara. 

"Pihak EM pula akan melaporkan terus kepada Duta negara berkenaan, jadi sememangnya semua pelajar berada di bawah pemantauan. Kita (KULN) juga turut membantu memantau pelajar di kawasan kami," katanya kepada Bernama di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Ahad.

Beliau ditemui selepas menghadiri majlis Persidangan Presiden Kelab Umno Luar Negara sempena Perhimpunan Agung Umno 2016.

Sementara itu, Presiden KULN Tanta, Mesir, Shahrul Naim Mat Ludin berkata kelab sering menganjurkan program penerangan berkaitan kegiatan keganasan dan ekstremis kepada pelajar Malaysia yang menuntut di sana.  

Beliau berkata ini bagi memastikan mereka mendapat gambaran jelas mengenai isu berkenaan sekaligus mengelak pelajar terpengaruh atau terjebak dengan dakyah disebarkan oleh kumpulan militan seperti Daesh. 

"Inisiatif untuk menganjurkan program yang diadakan sekali dalam setiap dua bulan itu diambil KULN selepas melihat kecenderungan kumpulan pengganas ini aktif di media sosial dalam usaha merekrut anggota baharu," katanya.  -Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain