suria

Anggota JPJ Maut Digilis Treler

SHAH ALAM: Seorang anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor maut digilis sebuah treler dalam satu kejadian berhampiran Plaza Tol Setia Alam menghala Setia Alam di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat berkata dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari itu, Mohd Ridzuan Md Yusop, 34, digilis kenderaan itu semasa ia dipercayai sedang bergerak perlahan memasuki semula lebuh raya itu setelah berhenti di lorong kecemasan untuk membuat panggilan telefon.

"Ketika kejadian, mangsa sedang menjalankan operasi rutin JPJ bersama tiga lagi anggota dan beliau baru sahaja memulangkan semula lesen memandu pemandu sebuah lori kontena lain yang ditahan di tepi lebuh raya itu untuk pemeriksaan.

"Siasatan awal mendapati treler itu berhenti di belakang lori kontena bukan untuk pemeriksaan tetapi kerana pemandunya sedang membuat satu panggilan telefon berhubung penghantaran barang yang dibawanya."

Pemandu treler itu dipercayai sedang memandang ke kanan jalan untuk memandu keluar dan mungkin tidak menyedari mangsa berada di hadapan sebelah kiri lori lalu melanggarnya," katanya kepada pemberita di sini, pada Rabu.

Shafien berkata, tiga lagi rakan mangsa tidak mengetahui berlakunya kemalangan berkenaan kerana keadaan lebuh raya yang bising dan jarak mangsa dengan kumpulan itu adalah kira-kira 30 meter, sehingga mereka dimaklumkan saksi kejadian.

Beliau berkata Mohd Ridzuan yang mengalami kecederaan parah di kepala meninggal dunia serta merta di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat.

Pemandu lori treler itu, lelaki tempatan berumur 68 tahun, kini direman mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk siasatan lanjut.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPJ Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata Mohd Ridzuan telah berkhidmat selama lima tahun di JPJ Selangor dan merupakan anggota yang cemerlang dalam tugas serta amat berdisiplin.

Beliau berkata isteri mangsa yang hamil enam bulan di Melaka telah dimaklumkan mengenai kemalangan itu. --BERNAMA



JPJ, maut, treler

Artikel Berikut

Artikel Lain