suria

Polis Perlu Jelaskan Penahanan Maria Di Bawah Sosma - Wanita MCA

Datuk Heng Seai Kie
KUALA LUMPUR: Pihak polis harus memberikan penjelasan berhubung penangkapan pemimpin Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), kata Wanita MCA.

Ketuanya, Datuk Heng Seai Kie mempersoalkan sama ada Sosma adalah undang-undang yang sesuai digunakan dalam kes ini.

"Apakah alasan untuk beliau ditahan di bawah Sosma?

"Secara peribadi, saya dan semua Wanita MCA tertanya-tanya (tentang perkara ini), jadi saya fikir polis perlu jelaskan kepada orang ramai," katanya pada sidang akhbar di sini Selasa.

Bagaimanapun, Seai Kie berkata, pihak polis, yang berpegang teguh dengan undang-undang, semestinya mempunyai 'alasan kukuh' membuat tangkapan ke atas Maria menggunakan akta anti-keganasan ini.

"Apa yang perlu kita lihat adalah laporan siasatan dan maklumat yang telah dikumpulkan hasil soal siasat, kerana penahanannya hanya ditukar kepada Sosma selepas perhimpunan Bersih 5 pada Sabtu.

"Mesti ada sebabnya... tetapi mereka perlu menjelaskan mengapa," tegas beliau.

Selain Sosma, Maria juga telah ditahan di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan, melibatkan aktiviti-aktiviti dianggap memudaratkan demokrasi berparlimen.

Seai Kie bagaimanapun berkata beliau berharap Maria akan dibebaskan tidak lama lagi jika dibuktikan tidak bersalah.

Maria adalah antara pemimpin ditahan pada Jumaat menjelang perhimpunan Bersih 5 pada 19 November.

Artikel Berikut

Artikel Lain