LABUAN: Seorang pengarah agensi kerajaan persekutuan di Labuan dan dua kontraktor ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan berkaitan pembinaan medan selera berharga RM12 juta di Tanjung Purun di sini.
Pengarah berusia 59 tahun dan kedua-dua kontraktor itu, masing-masing berumur lingkungan 40-an, diperintah supaya ditahan reman selepas mereka dibawa ke Mahkamah Majistret di sini Selasa.
Majistret Haizah Tamin membenarkan permohonan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan reman ketiga-tiga mereka selama tujuh hari.Pengarah itu ditahan pada Isnin kira-kira 11.50 pagi di ibu pejabat SPRM Putrajaya, manakala dua kontraktor itu ditahan pada 6.30 petang di pejabat SPRM Labuan.
Suspek disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.


