suria

Yeo Bermalam Di Rumah Jho Low, Pakai Pakaiannya - Pendakwa

Yeo Jiawei
SINGAPURA: Bekas pegawai bank BSI, Yeo Jiawei begitu rapat dengan hartawan kontroversi dari Malaysia, Jho Low atau Low Taek Jho, di mana dia telah tidur di apartmen Low, menaiki jet peribadinya dan juga memakai pakaiannya, mahkamah diberitahu, Rabu.

Dakwaan itu timbul apabila testimoni Yeo sebelum ini, termasuk dakwaan dia mendapat hasil yuran rujukan dan dakwaan mengenai hubungannya dengan Low, berada di bawah pengawasan ketat oleh pihak pendakwa.


Yeo, yang menghadapi empat pertuduhan mengganggu saksi berkali-kali telah memandang ringan hubungan rapatnya dengan Low, yang sedang disiasat di sini dan di tempat lain berhubung dakwaan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Yeo mendakwa bahawa dia tidak pernah diambil bekerja oleh Low, malah tidak pernah 'menerima satu sen pun' daripada ahli kewangan mewah itu.

Tetapi Timbalan Pendakwa Raya Tan Kiat Pheng, ketika menyoal balas Yeo, menunjukkan percanggahan dalam keterangannya mengenai pertemuan pertamanya dengan Low.

Beliau juga menuduh Yeo berbohong mengenai apa yang dilakukan di Hong Kong sebelum kembali ke Singapura.

Yeo telah memberi keterangan bahawa dia telah menghabiskan beberapa jam di lapangan terbang Hong Kong.

Tetapi Timbalan Pendakwa Raya berkata: "Anda sebenarnya menghabiskan masa di rumah Jho Low. Anda tidur di rumahnya. Dan kerana anda tidak mempunyai pakaian, anda juga telah memakai pakaian Jho Low. Anda berbohong kerana anda cuba menidakkan hubungan anda dengan Jho Low."

Yeo menjawab: "Saya tidak bersetuju kerana dakwaan itu akan diterus 'dimainkan'. Jho Low hanya pelanggan saya."

Pihak pendakwaan juga memohon untuk menjatuhkan kesaksian Yeo mengenai sebab yuran rujukan telah dibayar.

Mahkamah diberitahu tujuan sebenar dua firma yang Yeo dan bekas majikannya, Kevin Swampillai miliki secara benefisial digabungkan adalah untuk menyembunyikan hakikat bahawa mereka telah menerima 'keuntungan rahsia'.

Pendakwa berkata Yeo telah mengatur agar kedua-dua syarikat menerima sebahagian besar daripada yuran rujukan atau 'keuntungan rahsia' untuk kepentingan mereka sendiri.

Di bawah perjanjian itu, sebahagian daripada yuran pengurusan yang dibayar oleh unit 1MDB Brazen Sky kepada pengurus pembiayaan Bridge Partners Management Investment (Cayman) telah masuk ke firma yang dipanggil Bridge Global Managers sebelum ia berpindah kepada syarikat-syarikat yang dimiliki oleh Yeo dan Swampillai.

Yeo tidak bersetuju,menyatakan Swampillai telah merancang untuk Bridge Global Managers akhirnya diambil alih Bridge Partners menggunakan dana yang dipegang oleh kedua-dua syarikat.

Pihak pendakwaan juga menunjukkan percanggahan dalam keterangannya Yeo mengenai Jabatan Ehwal Perniagaan (CAD).

Yeo telah memberi keterangan bahawa beliau tidak ingat jika CAD telah memerintahkan kepadanya untuk tidak bertemu dengan saksi.

Tetapi dalam satu kenyataan kepada CAD pada 27 April tahun ini, Yeo menulis bahawa beliau sebenarnya telah diberi amaran untuk tidak berbuat demikian.

Yeo berkata beliau 'takut didakwa' jika dia mengaku kepada CAD bahawa dia telah bertemu Swampillai dan Samuel Goh pada 27 Mac selepas mereka telah disoal oleh CAD.  -The Straits Times/Asia News Network
Jho Low, Yeo Jiawei

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain