suria

Pelajar Malaysia Berdepan Masalah Rupee

Ribuan penduduk di India memenuhi bank-bank di negara mereka untuk menukar wang selepas kerajaan India memansuhkan wang kertas 500 dan 1,000 rupee untuk memerangi rasuah dan wang kertas palsu. -fotoBLOOMBERG
MELAKA: Beribu-ribu pelajar Malaysia di India berada dalam keadaan keliru berikutan keputusan kerajaan India  memansuhkan wang kertas 500 dan 1,000 bagi mata wang Rupee.

Wang kertas itu tidak lagi sah dari segi undang-undang tetapi ramai di antara mereka masih berada di bank-bank India, yang kebanyakannya terletak jauh dari kawasan universiti.

Keadaan ini membuatkan hampir mustahil bagi mereka untuk membuat pertukaran wang kertas yang dimiliki, kata Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Dalam Pendidikan Melaka (Magpie),  Mak Chee Kin.

"Jarak dari universiti dengan bank adalah sesuatu yang menyusahkan mereka, kebanyakan pelajar ini telah mengeluarkan sejumlah wang yang besar sebelum keputusan kerajaan memansuhkan wang kertas tersebut.

"Kunjungan ke bank sering menghasilkan kekecewaan dengan lautan manusia memenuhi bank.

"Ia mengambil masa empat hingga lima jam sebelum wang kertas dapat ditukar dengan wang lebih kecil," katanya sambil menambah Magpie telah menerima laporan daripada pelajar Malaysia yang terjejas.

Perdana Menteri India Narendra Modi pada 8 November telah mengumumkan keputusan kerajaan untuk memansuhkan wang kertas 500 dan 1,000 rupee untuk memerangi rasuah dan wang kertas palsu di negara ini.

Kedua-dua wang kertas itu telah menyumbang sebanyak 85 peratus dari jumlah wang dalam edaran di India dan tidak lagi sah bermula 9 November.

Wang kertas yang dimansuhkan dalam edaran perlu didepositkan di bank-bank India sehingga akhir bulan Disember, dengan negara itu mengeluarkan wang kertas 500 dan 2,000 rupee siri baharu yang memasuki edaran pada 10 November.

Chee Kin berkata, banyak institusi kewangan di India tidak dapat memenuhi permintaan untuk menukar wang kertas disebabkan bilangan besar orang ramai yang menyerbu bank untuk membuat pertukaran.

Beliau berkata kedai-kedai di seluruh negara, termasuk kantin universiti, tidak lagi menerima nota yang dimansuhkan.

"Pelajar kita terdesak dan ada yang terpaksa meminta ibu bapa mereka menghantar denominasi yang lebih kecil supaya mereka dapat membeli makanan dan barang-barang peribadi," kata Chee Kin.

Terdapat juga pelajar yang terpaksa meminjam wang.

Chee Kin merayu kepada Kementerian Luar untuk campur tangan dan membantu para pelajar.

Beliau juga mencadangkan rundingan antara kerajaan dengan kerajaan di mana Bank Negara India dapat membuka kaunter di universiti yang mempunyai ramai pelajar asing.

Wang kertas 2,000 rupee juga telah menimbulkan kekeliruan kepada pelajar Malaysia yang telah berjaya mendapatkannya.

Banyak kedai dan restoran tidak mahu menerima wang kertas baharu itu kerana mereka tidak mempunyai wang kertas yang lebih kecil nilainya.

Setelah tiba di Mangalore, Karanataka, pada Oktober, R. Devika, 20, dan hampir separuh rakan kelasnya dengan bilangan kira-kira 150 orang tidak mempunyai akaun bank pelajar antarabangsa tempatan disebabkan kerenah birokrasi. Mereka terpaksa melakukan sesuatu!

"Kami telah memberikan wang kertas rupee lama kami kepada rakan-rakan yang mempunyai akaun untuk mendapatkan mata wang baharu," katanya.

Disebabkan peniaga-peniaga tidak mahu menerima wang kertas baharu lagi, Devika dan rakan-rakannya terpaksa keluar makan dalam kumpulan yang besar supaya mereka boleh membayar secara pukal.

Pelajar pergigian Mohamad Haikal Zakaria, 20, berkata mesin ATM dan bank telah ditutup di Chennai.

Dengan hanya 120 rupee (RM1.20) dalam dompet, tidak ada cara untuk dirinya mendapatkan wang tunai.

"Kami hanya boleh menggunakan kad debit di outlet-outlet besar tetapi kami tidak boleh pergi ke pasar," katanya yang berdepan kesusahan bersama kira-kira 50 hingga 60 pelajar Malaysia di universitinya.

Tidak seperti pelajar di universiti lain, Mohamad Haikal berkata mereka bernasib baik kerana disediakan dengan sekeping kad yang membolehkan mereka untuk makan di kafeteria.

G. Kumar, yang juga belajar di Chennai, berkata krisis ini seolah-olah tidak akan tamat.

"Kerajaan India telah memberi jaminan bahawa masalah itu akan diselesaikan dalam tempoh dua hari, tetapi ia telah berlarutan selama lebih seminggu. Ia benar-benar tidak menyenangkan," kata Kumar.

Konsul Jeneral Malaysia di Chennai Ahmad Fajarazam Abdul Jalil berkata mereka telah berhubung dengan ketua-ketua pelajar Malaysia dan juga membantu pelancong Malaysia.

Beliau berkata pelajar boleh menghubungi konsulat di talian +9144 2433 4434.

Pelajar dengan biasiswa kerajaan menerima elaun mereka dalam dolar AS dan harus mempunyai akaun bank tempatan untuk membuat pembayaran debit.

Ahmad Fajarazam berkata terdapat 2,000 pelajar Malaysia di Tamil Nadu dan Karnataka.

Beliau menasihatkan rakyat Malaysia untuk membawa bersama pasport mereka apabila pergi ke bank untuk mendepositkan wang kertas mereka.
Rupee, Mak Chee Kin, Magpie

Artikel Lain