suria

Ambil Tindakan Terhadap Jamal Dan Maria - Gerakan

Jamal (kiri) dan Maria.
KUALA LUMPUR: Gerakan mahu tindakan tegas diambil terhadap pemimpin Baju Merah Datuk Seri Jamal Md Yunos dan pemimpin Bersih, Maria Chin Abdullah.

"Mengapa Jamal dan Maria berkeras mahu meneruskan perhimpunan, tidak menghormati polis dan undang-undang dan menunjukkan satu contoh tidak baik kepada generasi muda," kata Naib Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau.

Beliau menggesa orang ramai untuk tidak menyokong perhimpunan perpecahan kaum ini yang boleh menakutkan pelabur asing.

"Kita baru sahaja mendapat lebih banyak pelaburan dari China untuk mengelakkan krisis ekonomi.

"Ketika ringgit lemah berbanding dolar AS, demonstrasi jalanan hanya akan memburukkan lagi krisis," katanya.

Menyedari bahawa Jamal adalah Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Dr Lau menggesa Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengambil tindakan tegas terhadap ahli-ahli Umno dan Barisan Nasional yang terlibat dalam perhimpunan tersebut.

Beliau juga membidas pemimpin pembangkang yang menyokong perhimpunan haram yang boleh menyebabkan ancaman perpecahan dalam negara.

Beliau berkata, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar perlu meletakkan jawatan jika keganasan berlaku semasa perhimpunan sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan serius.

Tambahnya, pasukan polis secara amnya dan Khalid secara khususnya perlu bertanggungjawab jika keadaan bertambah buruk dan berada di luar kawalan.

"Adalah menjadi tanggungjawab polis untuk menghentikan perhimpunan haram itu," kata Dr Lau pada sidang akhbar di ibu pejabat Gerakan, Rabu.

Beliau berkata polis perlu bertemu dengan penganjur Bersih dan Baju Merah untuk rundingan pusingan akhir bagi meyakinkan mereka supaya menghentikan perhimpunan yang dirancang Sabtu ini.

Tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka yang didapati melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, kata Dr Lau, sambil menambah ia tidak akan menjadi sebuah perhimpunan aman apabila dua kumpulan bertentangan berkumpul di jalan raya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain