suria

Tiada Maklumat Malaysia Jadi Hab Atur Perlawanan - KPN

Tan Sri Khalid Abu Bakar
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menerima  maklumat bahawa Malaysia menjadi hab mengatur perlawanan di Asia Tenggara, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar Selasa.

Beliau berkata polis tidak menerima maklumat mengenai dakwaan itu sama ada daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Konfederasi Bolasepak Asia  (AFC) atau mana-mana sumber lain.

Beliau berkata PDRM adalah anggota Jawatankuasa Integriti, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang ditubuhkan untuk menangani gejala rasuah dan mengatur perlawanan.

"Kami telah mengambil langkah-langkah aktif untuk mengekalkan integriti dalam sukan ini dan kami akan terus berbuat demikian," kata beliau dalam satu kenyataan.

Khalid mengulas kenyataan Penasihat Bebas mengenai Integriti Sukan, Chris Eaton pada forum mengenai mengatur perlawanan anjuran Global Lottery Monitoring System di Singapura pada 7 November.

Eaton dipetik oleh media antarabangsa sebagai berkata "Malaysia telah mengatasi Singapura sebagai hab mengatur perlawanan sukan di Asia Tenggara.

Khalid berkata polis mengalu-alukan sebarang maklumat yang mendakwa bahawa industri sukan di Malaysia telah tercemar.

"Bagaimanapun maklumat tersebut mestilah boleh dipercayai dan disokong oleh bukti yang nyata," katanya.

Artikel Lain