suria

Kos ECRL Meningkat Kerana Tambah Jarak, Landasan Baharu

Datuk Abdul Rahman Dahlan
KUALA LUMPUR: Kos pembinaan projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) meningkat berikutan penambahan laluan dari Gombak ke Pelabuhan Klang, menjadikan jarak keseluruhannya sepanjang 688 kilometer (km).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata penambahan laluan ECRL itu melibatkan pembinaan landasan sepanjang 88 km dengan kos sebanyak RM9 bilion, sekali gus melonjakkan kos pembinaan keseluruhan kepada RM55 bilion.

"Pada mulanya, kita merancang untuk membina laluan itu dari Tumpat (Kelantan) ke Gombak (Selangor) melalui Kuantan (Pahang). Laluan itu keseluruhannya adalah sepanjang 600 km dengan kos lebih kurang RM46 bilion.

"Kemudian, kerajaan putuskan untuk meneruskan laluan ke Pelabuhan Klang (dari Gombak) supaya barangan boleh dihantar terus ke Pantai Timur. Kosnya lebih besar kerana melibatkan penerokaan tanah baharu di sekitar Lembah Klang," katanya pada sidang berita di lobi Parlimen di sini, Selasa.

Menurutnya pertambahan kos itu disebabkan oleh pembinaan landasan dan jambatan baharu yang sepanjang 110 km serta pembinaan terowong sepanjang 50km.

Abdul Rahman membuat penjelasan itu berikutan laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan yang mendakwa projek pembinaan ECRL adalah yang termahal di dunia selain mempersoal tindakan kerajaan meneruskan projek itu tanpa persetujuan Parlimen.

"Projek ECRL telah dibincangkan oleh Kabinet dan Majlis Ekonomi, oleh itu, projek ini tidak perlu dibawa ke Parlimen," katanya yang jugaAnggota Parlimen Kota Belud.

Projek ECRL adalah sebahagian daripada pelaburan dan kerjasama perdagangan berjumlah RM144 bilion yang dimeterai Malaysia dan China ketika lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke republik itu dari 31 Okt hingga 5 Nov lepas.

Beliau berkata pembinaan projek itu akan bermula awal tahun depan dan dijangka siap dalam tempoh tujuh tahun.

Pada sidang media sama, Abdul Rahman beliau turut menjelaskan bahawa  Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRLSB) adalah milik penuh Kementerian Kewangan dan disokong oleh Kerajaan Malaysia.

"Penubuhan MRLSB adalah amalan biasa kerajaan dalam menguruskan projek-projek berskala besar seperti projek Mass Rapid Transit (MRT), ia bukan sesuatu yang luar biasa," katanya.

Beliau menjawab kenyataan Anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli hari ini yang mendakwa MRLSB ditubuhkan dengan modal RM2 dan boleh menandatangani ECRL bernilai RM46 bilion.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain