suria

Guru Wanita Lesap Lebih RM200,000 Ditipu Sindiket Macau Scam

- Gambar hiasan
BALING: Seorang guru wanita di sebuah sekolah di Kuala Ketil berputih mata apabila wang RM212,210 hasil simpanannya dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) lesap selepas ditipu oleh individu yang menyamar sebagai pegawai bank, dipercayai sindiket penipuan Macau Scam.

Ketua Polis Daerah Baling Supt Shariffudin Yusof berkata pada 1 November lepas, mangsa berusia 57 tahun menerima mesej daripada pihak yang mengaku sebagai pegawai bank mengatakan bahawa kad kredit mangsa telah digunakan sebanyak RM4,388.

Beliau berkata mangsa kemudian diminta membuat panggilan ke satu nombor sekiranya tidak melakukan transaksi itu dan kemudian bercakap dengan seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai David Lim.

"David memaklumkan bahawa pengadu telah berhutang sebanyak RM8,236.80 atas kad kredit Visa Gold dan meminta mangsa menghubungi Bank Negara Malaysia di satu nombor yang diberikan.

"Mangsa menghubungi nombor itu dan bercakap dengan individu bernama Lim Khar Meng yang kemudian memintanya menghubungi seorang lagi individu bernama Lim Chin Teong," katanya dalam kenyataan di sini Selasa.

Shariffudin berkata setelah menghubungi Chin Teong, mangsa diarahkan untuk membuat pindahan wang ke akaun diberikan dan mangsa membuat dua kali pindahan wang daripada akaun Maybank miliknya iaitu sebanyak RM29,995.09 ke satu akaun yang tidak dikenal pasti pada 5.20 petang.

"Mangsa turut membuat pindahan wang ke satu lagi akaun yang tidak dikenal pasti berjumlah RM9,995.07 pada 5.23 petang," katanya.

Apabila curiga dan merasakan dirinya ditipu, beliau berkata mangsa menelefon ibu pejabat Maybank namun tidak lama selepas itu, mangsa menerima panggilan daripada Chin Teong yang memarahinya kerana mengganggu siasatan yang beliau kendalikan.

"Chin Teong mengatakan bahawa akaun bank mangsa telah dijadikan akaun untuk penggubahan wang haram dan mangsa diminta tidak memberitahu sesiapa berkenaan hal itu," katanya.

Dua hari selepas itu iaitu pada 3 Nov kira-kira 3.22 petang, Chin Teong kemudiannya menghubungi mangsa sekali lagi dan meminta mangsa memasukkan wang ke akaun lain untuk sementara waktu kerana akaun mangsa telah digunakan untuk penggubahan wang haram.

"Mangsa kemudian telah membuat deposit tunai di mesin ATM Public Bank Kuala Ketil sebanyak 11 kali dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM98,000 ke akaun Public Bank atas nama Chong Hon Mun," katanya.

Beliau berkata mangsa kemudian membuat semakan di Maybank Baling dan mendapati wang daripada akaun Maybank miliknya dipindahkan melalui perbankan internet Maybank2u sebanyak tiga kali pada 2 dan 3 Nov, dengan jumlah keseluruhan RM74,220.53.

Beliau berkata polis akan menghantar permohonan Financial Services Platform (FSP) ke bank-bank terlibat dan syarikat telco, selain menyiasat nombor talian yang digunakan suspek.


"Jumlah keseluruhan kerugian ialah RM212,210. Kita telah merakam percakapan mangsa dan membuat akuan serah terima resit bank daripada mangsa, kita akan kesan dan tangkap suspek," katanya.
Macau scam, sindiket, KWSP

Artikel Lain