suria

Peguam Cabul Pelajar Akan Didakwa Hari Ini

PETALING JAYA: Peguam yang menyerah diri kepada pihak polis kerana didakwa mencabul seorang pelajar universiti di sebuah kondominium di Bandar Sungai Long akan didakwa di mahkamah pada Selasa, kata Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nanyan.

Beliau berkata, suspek berusia 33 tahun itu akan didakwa di Mahkamah Kajang atas dua kesalahan berasingan, dan berkata ini adalah perintah yang diterima daripada timbalan pendakwa raya.

Othman berkata, suspek akan menghadapi satu pertuduhan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah kepada seseorang dengan niat untuk mencabul kehormatan dan satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 511 Kanun Keseksaan kerana cuba melakukan kesalahan yang sama.

Peguam itu menyerah diri kepada polis pada Jumaat lalu dan ditahan selepas dia dikenal pasti oleh mangsa.

The Star melaporkan bahawa dua pelajar Universiti Tunku Abdul Rahman, Cristal Chua dan Tammy Ong, kedua-duanya berusia 20-an menyatakan pengalaman pahit mereka diserang secara seksual dalam video di Facebook untuk memberi amaran kepada wanita lain supaya lebih berhati-hati.

Kedua-duanya berkata, mereka sedang berjalan ke kondominium disewa Chua apabila seorang lelaki tiba-tiba muncul dan 'meraba' punggung Chua.

Mereka berkata, lelaki itu juga cuba untuk memegang dada Ong tetapi dia melarikan diri dan menjerit.

Artikel Lain