KEGEMBIRAAN seorang wanita mengunjungi sebuah pesta bertukar tragedi berdarah apabila sebahagian kulit kepalanya terkoyak selepas rambutnya tersangkut pada roda Ferris yang sedang berpusing laju.Dalam kejadian tragis pada Jumaat itu, mangsa dilaporkan sedang menikmati permainan berkenaan sebelum jentera tersebut mula berputar dengan kelajuan tinggi. Malangnya, rambutnya tersangkut pada bahagian galas berputar yang terletak di belakang tempat duduk.Tatkala roda Ferris itu terus berpusing deras, rambut mangsa ditarik secara kuat dan mengejut hingga mengakibatkan kecederaan parah.Impak tarikan keras itu menyebabkan wanita berkenaan menjerit kesakitan apabila sebahagian besar kulit kepalanya terkoyak dalam sekelip mata.Jeritan kencang mangsa terus mengejutkan orang ramai yang mula panik apabila melihat wanita itu tergapai-gapai dalam keadaan berlumuran darah.Kejadian ngeri tersebut berlaku ketika pesta sempena festival Tanha Pola di Mahagaon dalam daerah Yavatmal, Maharashtra, India.Mangsa kemudiannya dikenal pasti sebagai Bali Maroti Talikote, 25, yang berasal dari Phulsawangi.Pesta tahunan selama sehari itu memang menjadi tumpuan ramai wanita dan kanak-kanak dari kampung berhampiran yang datang untuk beribadat di Kuil Puneshwar Mahadev.Kekecohan yang berlaku di tapak permainan itu serta-merta mendapat perhatian pihak polis yang sedang bertugas di lokasi kejadian.Penolong Inspektor Polis Sunil Ambhure bersama Konstabel Suhas Kayte dan penduduk tempatan kemudian bertindak pantas menghentikan roda Ferris yang masih berpusing.Mangsa berjaya dikeluarkan dengan selamat sebelum dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan akibat kecederaan dialaminya.Insiden tersebut turut mencetuskan kebimbangan mengenai tahap keselamatan permainan yang disediakan pada pesta berkenaan. -Agensi