suria

Hujan Lebat Jejaskan Warga Pulau Pinang

Taman Thean Teik, Jalan Air Itam dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat pada awal pagi Isnin.
 Banjir kilat berlaku apabila hujan berterusan di sekitar Pulau Pinang sejak tengah malam Ahad. Foto Bernama

GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah meluluskan dana kecemasan sebanyak RM665,000 untuk kerja-kerja tebatan banjir selepas hujan lebat melanda pulau itu, sehingga menyebabkan tanah runtuh, jalan raya runtuh, banjir dan pokok tumbang di banyak tempat selain beribu-ribu terkandas dalam kesesakan trafik.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri telah meluluskan jumlah berkenaan untuk Jabatan Pengairan dan Saliran negeri menjalankan tujuh projek tebatan banjir jangka pendek dengan segera berikutan peruntukan RM350 juta yang dimohon daripada Kerajaan Persekutuan tidak diberikan.

Pulau Pinang dilanda banjir empat kali sejak 10 hari lalu, dengan banyak kejadian tanah runtuh dan jalan raya runtuh.

Malah di stesen kereta api Bukit Bendera juga dilanda hujan yang mengakibatkan tanah runtuh di kawasan itu.

Bagaimanapun, perkhidmatan kereta api berkenaan tidak terjejas.

Antara kawasan yang dilanda banjir pada Isnin adalah Kampung Dodol, Kampung Makam, Jalan Sungai Dua, Jalan Thean Teik, Jalan Scotland, Lorong Batu Lanchang, Dhoby Ghaut, Jalan Datuk Keramat, Jalan P. Ramlee, Jalan Lumba Kuda, Jalan Mesjid Negeri, Kampung Mutiara dan Jalan Perak.

Para pelajar SMK Abdullah Munshi di Jalan P. Ramlee, terutama mereka yang menduduki peperiksaan SPM terpaksa keluar dari bas sekolah dan menaiki bot untuk ke sekolah.

Tanah runtuh dilaporkan di Jalan Ujung Batu di Teluk Bahang dan sebahagian Jalan Paya Terubong di Relau. 

Jalan raya retak dengan sebahagiannya runtuh, kira-kira 200 meter dari lokasi tanah runtuh di Jalan Ujung Batu.

Trafik dari Jalan Tun Sardon di Balik Pulau menghala ke Relau dilencongkan ke Paya Terubong akibat kejadian tanah runtuh, sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk.

Laluan ke kedua-dua Jalan Ujung Batu and Jalan Paya Terubong ditutup dan jalan di laluan berbukit dari Kuil Kek Lok ke Empangan Air Itam turut ditenggelami air.

Satu video mengenai kejadian tanah runtuh dekat Stesen Bukit Bendera menunjukkan seorang pekerja mengalihkan air berlumpur manakala beberapa pekerja membersihkan kawasan yang dipenuhi lumpur.

Pemangku Pengurus Besar Bukit Bendera, Datuk Ng Wee Kok mengesahkan kejadian itu, sambil menambah ia berlaku kira-kira 2 pagi Isnin.

"Pekerja kami memulakan kerja-kerja pembersihan stesen pada kira-kira pukul 7 pagi dan berjaya membersihkan stesen yang ditenggelami air sehingga paras buku lali dalam tempoh sejam.

"Tanah runtuh itu mengakibatkan air hujan yang mengalir ke stesen," katanya, sambil menambah bahawa perkhidmatan kereta api funikular itu bagaimanapun tidak terjejas.

Mengenai peruntukan kerajaan negeri, Kon Yeow berkata: "Ia akan membantu mengurangkan keadaan ini terutama di kawasan yang sering dilanda banjir. Projek ini akan bermula tidak lama lagi dan dijangka mengambil masa antara dua hingga tiga minggu."

Selepas kejadian banjir pada Hari Deepavali baru-baru ini, kerajaan negeri telah memohon peruntukan RM350 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi projek tebatan banjir fasa kedua.

Artikel Sebelum

Artikel Lain