suria

Akta MKN: Agong Punya Kuasa Isytihar Darurat Negara - Peguam Negara

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali ketika bercakap kepada media selepas menyampaikan ucapan di seminar perundangan tertutup anjuran Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) di institut itu, Isnin. Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar (kanan).

BANGI: Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak mengambil kuasa Yang di-Pertuan Agong berhubung pengisytiharan darurat kerana Seri Paduka mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan darurat negara.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, mengikut akta itu, perdana menteri pula hanya diberi kuasa untuk mengisytiharkan darurat bagi 'satu kawasan atau kawasan-kawasan tertentu'.

Ketika memberi penjelasan mengenai Akta MKN, beliau berkata Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai budi bicara untuk mengisytiharkan darurat secara peribadi tetapi harus bertindak atas nasihat kerajaan.

"Ia bukanlah seperti apabila anda berhasrat mengisytiharkan (darurat), kemudian bertindak mengisytiharkannya. Dalam konteks ini, Yang di-Pertuan Agong harus bertindak atas nasihat. Ini amat penting," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) di sini, Isnin.

Akta MKN 2016, yang membolehkan kerajaan mempunyai kuasa-kuasa darurat, berkuat kuasa pada 1 Ogos tahun ini.

Mohamed Apandi berkata sama seperti Yang di-Pertuan Agong, perdana menteri juga tidak boleh sewenang-wenangnya bertindak atas kemahuan sendiri untuk mengisytiharkan darurat.

"Beliau (perdana menteri) akan bertindak atas nasihat Majlis (MKN), yang terdiri daripada pelbagai pihak yang terlibat dalam perkara-perkara berkaitan keselamatan negara. Perdana menteri akan bertindak sewajarnya berdasarkan nasihat yang diberikan," katanya.

Beliau berkata pihak berkenaan termasuklah Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera Malaysia dan Ketua Setiausaha Negara.

Bagi perintah darurat oleh perdana menteri, Apandi menjelaskan bahawa Parlimen tidak digantung dan akan terus bersidang.

"Mengikut akta itu, pengisytiharan itu, yang akan berkuat kuasa selama enam bulan, hendaklah dibentangkan dalam tempoh beberapa minggu di Parlimen."Ini untuk membolehkan Anggota-anggota Parlimen membahaskan sama ada wajar mengisytiharkan darurat di kawasan tertentu atau sebaliknya," kata beliau.

Peguam Negara menegaskan bahawa Akta MKN digubal untuk melindungi negara  bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam dikekalkan setiap masa dan dengan segera.

Mohamed Apandi berkata akta itu juga digubal berikutan beberapa realiti yang dihadapi oleh Malaysia, sambil merujuk kepada insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah pada 2013 sebagai contoh.

"Saya menarik perhatikan kepada keadaan Lahad Datu... dan untuk menangani keadaan itu, MKN berkuat kuasa demi memastikan rakyat Malaysia boleh hidup dalam keadaan aman dan damai. Tiada motif terselindung.

"Sekarang, kita mempunyai undang-undang yang sewajarnya dengan undang-undang itu membolehkan angkatan tentera dikerah ke tempat kejadian pencerobohan atau apa jua keadaan berbahaya, demi keselamatan negara," kata beliau.-- Bernama


Peguam Negara, Akta MKN, Agong

Artikel Lain