suria

Ops Water: Pengarah JANS Bebas Tahanan Reman

PETALING JAYA: Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) yang ditahan susulan kes penyalahgunaan dana awam dibebaskan selepas menjalani tempoh tahanan reman selama 12 hari yang berakhir Ahad.

Ag Tahir Ag Talip ditahan pada 4 Oktober lalu dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melibatkan RM500,000 tanpa deposit dengan dua penjamin.

Sumber memberitahu, pegawai kanan jabatan itu dibebaskan Majistret Stephanie Sharron Abbie di Lokap Berpusat, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah di Kepayan.

"Pembebasan suspek tidak semestinya dia tidak akan didakwa tetapi bermakna dibebaskan sehingga siasatan selesai.

"Buat masa ini pihak SPRM masih dalam proses merakam keterangan saksi, meneliti dokumen dan mengumpul bukti," kata sumber itu lagi.

Selain Pengarah JANS yang dibebaskan, empat lagi suspek akan tamat tahanan reman pada 18 Oktober ini," katanya.

Menurut sumber itu, SPRM telah merakam percakapan 82 saksi berhubung siasatan kes Ops Water.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi)SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan lebih ramai lagi saksi akan dipanggil untuk membantu siasatan kes tersebut.

Sebelum ini, SPRM menahan suspek kelima kes berkenaan yang juga penasihat Kementerian Kewangan Sabah berhubung kes penyalahgunaan dana projek infrastruktur mencecah RM3.3 bilion.

Suspek adalah timbalan pengarah JANS yang bersara tahun lalu dan dilantik sebagai penasihat teknikal dan kejuruteraan Kementerian Kewangan Sabah sehingga kini.

Siasatan awal mendapati suspek juga telah menerima sejumlah wang daripada kontraktor-kontraktor ketika memegang jawatan timbalan pengarah JANS.

Susulan itu SPRM telah merampas dua  kereta mewah milik suspek iaitu Mercedes Benz dan Land Cruiser.

Sebelum ini, empat suspek telah ditahan reman selepas sejumlah wang tunai bernilai RM3.3 juta ditemui di salah sebuah pejabat pegawai tersebut manakala lebih banyak wang tunai, barang kemas, geran tanah, kenderaan mewah dan beg tangan bernilai lebih RM150 juta dirampas dari pengarah dan timbalan pengarah JANS.

Kedua-dua pegawai kanan awam itu disyaki memberikan kontrak kepada beberapa syarikat yang dimiliki adik-beradik mereka, menyebabkan kontraktor lain tidak mendapat projek air di Sabah bernilai RM3.3 bilion dari kerajaan Persekutuan.

Dua lagi suspek adalah abang kepada timbalan pengarah jabatan itu dan akauntan.




Ops Water, JANS, SPRM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain