suria

Lapan Suspek Rompak MT Orkim Harmony Akan Diekstradisi - APMM

KUALA LUMPUR: Lapan suspek warga Indonesia yang disyaki terlibat dalam kes rompakan kapal tangki MT Orkim Harmony pada Jun tahun lepas, dijangka diektradisi dan dibicarakan di Malaysia tahun ini.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Maritim Datuk Seri Ahmad Puzi Ab Kahar berkata kerajaan telah bersetuju untuk menyediakan peruntukan bagi membawa kesemua mereka ke negara ini.

"Walaupun Malaysia telah mendapat permohonan kelulusan daripada Mahkamah Vietnam untuk mengekstradisi dan membicarakan mereka di negara ini, namun ia memerlukan beberapa proses tertentu sebelum dihadapkan ke mahkamah Malaysia.

"Insya-Allah, saya menjangkakan dalam tempoh terdekat tahun ini mereka akan dibawa ke Malaysia untuk dibicarakan dan saya berharap proses pendakwaan berjalan lancar dan berpihak kepada negara kita," katanya kepada Bernama.

Ahmad Puzi berkata pihak APMM telah membuat tinjauan di Hanoi, Vietnam dan berbincang dengan pihak mahkamah negara berkenaan bagi memuktamadkan tindakan mengikut lunas perundangan negara berhubung kes itu.

"Sekiranya kes berkenaan dapat dibawa ke Malaysia, ia merupakan kes pertama diekstradisi maka APMM berharap ia dapat dilaksanakan secepat mungkin," katanya.

Menurut Ahmad Puzi, kesungguhan semua pihak yang terlibat di Jabatan Peguam Negara, Kementerian Luar dan APMM membolehkan kelapan-lapan suspek itu diekstradisi untuk dibicarakan di Malaysia kerana rompakan itu melibatkan kapal tempatan dan di perairan negara.

Pada 22 September lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim mengumumkan permohonan mengekstradisi dan membicara lapan suspek warga Indonesia yang terlibat dalam kes berkenaan telah diluluskan oleh Mahkamah Vietnam.

MT Orkim Harmony, yang hilang di perairan timur Tanjung Sedili, Kota Tinggi di Johor pada 11 Jun 2015, membawa 22 anak kapal terdiri daripada 16 rakyat Malaysia, lima Indonesia dan seorang Myanmar.

Lapan lelaki Indonesia itu ditahan pihak berkuasa Vietnam berhampiran Pulau Tho Chu di selatan negara itu ketika cuba meloloskan diri daripada pemburuan. -- Bernama

MT Orkim Harmony, APMM

Artikel Sebelum

Artikel Lain