suria

Banyak Pihak Bantah Syor SPR

PETALING JAYA: Lebih daripada seratus bantahan - mungkin jumlah terbesar yang pernah dicatakan berhubung cadangan kontroversi persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan pengundi secara individu atau dengan bantuan parti politik dibenarkan untuk mengemukakan bantahan.

Tarikh akhir untuk berbuat demikian adalah pada Jumaat (14 Oktober).

Cadangan SPR untuk mengubah sempadan di 128 daripada 222 kerusi Parlimen telah mengundang kritikan daripada pelbagai pihak dan pengundi yang mendakwa langkah itu menguatkan monopoli kerusi etnik majoriti di samping mengurangkan kerusi campuran dan sekali gus mewujudkan lagi polarisasi kaum.

SPR juga dikritik kerana cuba mewujudkan pelebaran jurang saiz antara kerusi dan bukannya mengurangkannya.

Angka bantahan itu digambarkan bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman sebagai "mungkin yang terbesar" dalam proses persempadanan semula yang dibenarkan dilakukan setiap lapan tahun oleh undang-undang.

Parti-parti politik yang terlibat dalam bantahan termasuk MCA, Gerakan, DAP, PAS, PKR dan Amanah.



Wakil rasmi Umno enggan bercakap mengenai bilangan bantahan yang difailkan walaupun Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional berkata parti pemerintah itu tidak berpuas hati dengan 30 peratus daripada cadangan persempadanan semula SPR.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata parti itu sendiri telah memfailkan lebih 30 bantahan terhadap rancangan SPR.

Beliau berkata, Tengku Adnan bersetuju dengan hujah MCA bagi menentang cadangan persempadanan semula SPR itu.

Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Liang Tack Meng enggan menyatakan jumlah bantahan yang difailkan oleh partinya.

Tiada kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu telah dicadangkan kecuali Sabah, di mana SPR merancang untuk membentuk 13 kerusi negeri yang baharu.

Di bawah cadangan SPR, tiga negeri utama yang akan menyaksikan banyak perubahan adalah Johor (21 kerusi parlimen akan terjejas), diikuti oleh Selangor (18) dan Perak (17).

Susulan tarikh untuk memfailkan bantahan berakhir, SPR akan mengadakan sesi pendengaran bantahan bagi yang memenuhi syarat-syarat.

Tarikh pendengaran bantahan belum ditetapkan.

Jika SPR bersetuju dengan mana-mana bantahan, pihaknya akan meminda cadangan awal dan kemudiannya mempamerkan semula kepada orang ramai.

Bantahan masih boleh dilakukan jika pihak yang layak membantah masih tidak berpuas hati.

Suruhanjaya itu akan mengadakan pendengaran kedua dan selepas itu ia akan mengemukakan syor terakhir kepada Perdana Menteri.

Cadangan itu kemudiannya boleh dibentangkan di Dewan Rakyat, dengan kelulusan yang memerlukan majoriti mudah.

Pengarah Pilihan Raya PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, 19 bantahan telah difailkan di Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Manakala Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, pihaknya mengemukakan bantahan di setiap negeri kecuali Perlis, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Melaka.

Di Johor, parti-parti politik dari Barisan Nasional dan pembangkang telah menghantar lebih daripada 12 bantahan kepada SPR.

Dua bahagian MCA, iaitu Kluang dan Bakri, telah menghantar bantahan bagi kerusi DUN Mengkibol dan Bentayan.

Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata PKR menyerahkan sekurang-kurangnya empat bantahan kepada SPR.

MCA Selangor mengemukakan bantahan di beberapa kerusi Parlimen termasuk Puchong, Petaling Jaya Utara, Serdang, Hulu Langat, Klang dan Kuala Langat.

DAP negeri mengemukakan lebih daripada 50 bantahan bagi tiga kerusi Parlimen (Serdang, Petaling Jaya Utara dan Petaling Jaya Selatan) dan tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (Subang Jaya, Dusun Tua, Sungai Pinang, Teratai, Kuala Kubu Baharu, Damansara Utama dan Kampung Tunku).

Di Perak, Pakatan Harapan mengemukakan lebih 30 bantahan kepada SPR termasuk untuk kawasan Parlimen Ipoh Timur dan Ipoh Barat dan juga kesemua 18 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dipegang oleh DAP.

Difahamkan MCA Perak dan Umno juga telah mengemukakan bantahan kepada SPR.

Di Pulau Pinang, Ahli Parlimen DAP, Zairil Khir Johari mengemukakan bantahan melibatkan kerusi Bukit Bendera yang disandangnya di kawasan DUN Air Putih yang diwakili Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu, Ariffin Deraman berkata, PAS negeri menyerahkan 18 bantahan.

Setiausaha DAP Pahang, Lee Chin Chen berkata, pihaknya memfailkan bantahan bagi kerusi DUN Sabai di kawasan Parlimen Bentong.

Di Negeri Sembilan, pihak dari kedua-dua pihak memfailkan bantahan di 11 kerusi negeri yang terletak di kerusi Parlimen Seremban, Rembau, Teluk Kemang, Rasah dan Tampin.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Strategi Baharu Perangi Tonto

Artikel Lain