suria

Seekor Lagi Bayi Orang Utan Ditemui Di Semenggoh

KUCHING: Selepas kehadiran seekor anak Orang Utan dipercayai dilahirkan semasa sambutan Hari Malaysia, 16 September lepas, di Pusat Hidupan Liar Semenggoh (SWC), seekor lagi anak spesies haiwan terancam itu dikesan di pusat berkenaan.

Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) pada Jumaat mengumumkan seekor Orang Utan berusia 12 tahun bernama Selina muncul bersama-sama dengan anak sulungnya di platform memberi makanan yang disediakan di pusat itu pada waktu tengah hari, 9 Oktober lepas.

Menurutnya, Selina, yang hamil, kali terakhir dilihat pada 2 Okt sebelum kembali semula ke platform itu seminggu kemudian dengan anak jantannya berpaut pada ibunya.

"Pengurusan SWC percaya kemungkinan besar ahli keluarga baharu itu dilahirkan pada 6 Oktober. Ibu dan anak kelihatan sihat dan ibunya mempunyai selera makan yang baik," kata SFC dalam kenyataan di sini.

Hasil kehadiran dua 'anggota keluarga' terbaru itu, Semenggoh kini mempunyai 28 ekor Orang Utan di kawasan hutan simpan semulajadi Semmengoh (SNR) yang terletak dalam SWC.

Daripada jumlah itu, 17 ekor dilahirkan di Semenggoh.

"Malah enam ekor Orang Utan di SWC telah melahirkan beberapa anak dalam tempoh setiap lima tahun di mana Orang Utan betina dalam habital asal dikenal pasti melahirkan zuriat dalam tempoh setiap lapan tahun," menurut SFC.

SFC berkata pertambahan populasi Orang Utan di SWC menunjukkan keberkesan program pemulihan haiwan itu di pusat itu, memandangkan Semenggoh bukan merupakan habitat semulajadi bagi Orang Utan serta manifestasi kejayaan rancangan pemuliharaan haiwan itu di Sarawak. -Bernama

Bayi orang utan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain