suria

Cuepacs Harap Jabatan Dietetik, Sajian Tidak Diswastakan

Datuk Azih Muda

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap sebarang cadangan untuk menswastakan jabatan dietetik dan sajian di hospital kerajaan tidak akan dilaksanakan.

Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda berkata terdapat desas-desus cadangan itu, dan jika ia dilaksanakan, ia akan memberi kesan kepada kebajikan lebih 2,000 pembantu penyediaan makanan dan pegawai dietetik di hospital kerajaan seluruh negara.

"Cuepacs bimbang suatu hari nanti sekiranya dasar penswastaan itu dilakukan, dapur-dapur di hospital kerajaan yang menyediakan makanan untuk pesakit akan diuruskan oleh pekerja asing.

"Ini juga akan meningkatkan kos bayaran di hospital dan akan membebankan pesakit terutamanya daripada golongan miskin," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sewaktu perjumpaan dan mesyuarat khas pembantu penyediaan makanan hospital Semenanjung Malaysia di Wisma Cuepacs, di sini pada Isnin.

Azih berkata dasar penswastaan itu sekiranya dilaksanakan akan mengurangkan jumlah dan peluang rakyat yang mahu berkhidmat dalam sektor kerajaan.

Mengenai pembentangan Bajet 2017 minggu depan, Azih meminta kerajaan supaya mempertimbangkan perlindungan insurans kepada anggota penguat kuasa selain daripada tentera dan polis.

"Sudah sampai masanya anggota perkhidmatan awam lain yang menjalankan tugas-tugas penguatkuasaan untuk mereka dilindungi insurans atau Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso)," katanya. - BERNAMA

Cuepacs

Artikel Lain