suria

Bekas Wanita Umno Tarik Saman

KUALA LUMPUR: Bekas ahli Wanita UMNO Langkawi, Anina Saadudin menggugurkan kes saman terhadap Umno dan kerajaan berhubung kes beliau digugurkan keahlian daripada parti.

Anina menamakan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab Rauf Yusoh dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan dalam samannya itu.

Peguam yang mewakili Anina, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata pada Isnin, beliau telah memaklumkan kepada Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Roslan Abu Bakar bahawa anak guamannya menarik semula saman tersebut kerana akan menyertai parti baharu.

"Jadi isu keanggotaan beliau (Anina) dalam Umno menjadi tidak relevan kepadanya dan mengambil keputusan untuk menggugurkan saman tersebut.

"Mahkamah mengarahkan Anina untuk membayar RM2,000 bagi menanggung kos pengurusan kes tersebut untuk pihak Umno," katanya.

Bagaimanapun Kerajaan Malaysia tidak meminta sebarang kos berhubung penarikan semula saman itu.

Sebelum ini, Anina mengemukakan kes berhubung pengisytiharan Klausa 20.7 dalam Perlembagaan Umno yang membenarkan pemecatan ahli yang mengheret parti ke mahkamah, sebagai tidak sah mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Dalam samannya pada 3 Jun lalu, Anina turut mendakwa Seksyen 18C Akta Persatuan sebagai tidak sah dan melanggar Artikel 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.




Umno

Artikel Berikut

Artikel Lain