suria

SMK Balung Tawau Dibuka Semula Pada Khamis

Kerja mengalihkan bangkai helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membuat pendaratan cemas di SMK Balung Tawau kelmarin, mula dilakukan petang Rabu dengan menggunakan sebuah kren.
Foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balung,Tawau, Sabah, yang terlibat dengan insiden pendaratan cemas helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada Selasa, akan dibuka esok (Khamis), kata Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan.

"Sekolah tersebut dibuka esok, selepas ditutup semalam dan hari ini,"katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar 200 Tahun Pendidikan bahasaTamil di Malaysia di sini, Rabu.

Dalam kejadian pada 9.05 pagi itu, sebuah helikopter Nuri TUDM mendarat cemas di bumbung dewan terbuka di SMK Balung menyebabkan 22 orang cedera iaitu 13 anggota TUDM, lapan pelajar dan pekerja pembersihan SMK Balung.

"Kesemua pelajar yang cedera juga telah dibenarkan pulang dari hospital hari ini," katanya sambil menambah insiden itu turut menjejaskan pusat kemahiran hidup sekolah.

Dalam perkembangan lain, mengenai isu pelajar yang mengalami masalah kesihatan serius setelah didakwa meminum susu di sekolahnya, Kamalanathan berkata perkara itu tidak benar.

"Siasatan telah dibuat dan Pengarah Kesihatan Negeri Johor telah memaklumkan bahawa perkara itu tidak betul dan kemungkinan ia berpunca daripada komplikasi kesihatan lain.     

"Isu pelajar tersebut tiada kena-mengena dengan susu 1Malaysia yang dibekalkan ke sekolah," katanya.

Sebelum ini, Saziila Anuar, 12, dilaporkan telah dimasukkan ke Hospital Segamat pada 27 Julai lalu kerana mengalami demam serta sakit perut selepas meminum susu yang diberikan pihak sekolahnya.

Dia yang dirawat di hospital kemudiannya telah koma dan sebaik sedar didapati sebahagian kaki dan tangannya menjadi kehitaman seperti terbakar hingga doktor mengambil keputusan untuk memotong kaki kirinya. -Bernama

Helikopter Nuri, SMK Balung, tawau

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain