suria

Gabem Harap Bajet 2017 Dapat Bantu NGO Bumiputera

Abdul Rahim Tamby Chik

ALOR GAJAH: Kerajaan diharap dapat memberi tumpuan kepada  pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terutamanya Bumiputera dalam Bajet 2017 yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada 21 Oktober ini.

Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) Tan Sri Dr Abdul Rahim Tamby Chik berkata bantuan dan peruntukan yang disalurkan akan membolehkan pemimpin NGO menggerakkan aktiviti mereka dengan lebih berkesan terutamanya untuk membantu golongan Bumiputera dalam sektor ekonomi.

"Dengan adanya bantuan dan peruntukan melalui Bajet 2017, anggota mereka terutama ahli perniagaan yang berjaya boleh digerakkan untuk membantu golongan Bumiputera yang lain," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Terdahulu, beliau merasmikan Program Konsolidasi Patriotisme Ekonomi Bumiputera di Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) di sini. 

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Gabem Datuk Mohammat Izat Hassan dan Naib Canselor UCAM Datuk Dr Faridah Hanam Mohd Rashid.

Abdul Rahim berkata Gabem mempunyai lebih 200 NGO dengan tidak kurang daripada satu juta ahli dan pertubuhan itu mahu memberi sokongan kepada kepimpinan NGO. 

"Jika peruntukan disalurkan kepada NGO, mereka dapat menggerakkan aktiviti terutamanya memberi penjelasan kepada rakyat tentang perjuangan kerajaan membantu ekonomi rakyat dari dahulu hingga sekarang," katanya. -Bernama

Gabem, NGO, Bajet 2017

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain