suria

75 Anggota ATM Terima Anugerah Pingat Kerajaan Arab Saudi

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin (berdiri, lima, kiri) dan Duta Arab Saudi ke Malaysia Datuk Fahad Abdullah Al-Rashid (berdiri, enam, kiri) bergambar selepas Majlis Penganugerahan Pingat Peserta Eksesais 'Thunder Of The North '(RAAD Al Shamal) di Kediaman Kedutaan Arab Saudi, Persiaran Ampang Hilir pada 1 Oktober 2016. - BERNAMA

KUALA LUMPUR: Seramai 75 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dianugerahkan pingat RAAD ALSHAMAL daripada kerajaan Arab Saudi atas penglibatan dalam 'Eksesais Thunder Of The North', awal tahun ini.

Panglima ATM Jeneral Tan Sri Zulkifeli Md Zin berkata penganugerahan itu adalah satu pencapaian besar buat ATM dan anggota yang terlibat.

"Ini merupakan penganugerahan kali pertama kepada anggota yang terlibat dalam melaksanakan sesuatu latihan ketenteraan.

"Diharap kerjasama dalam melaksanakan latihan ketenteraan secara bersama dengan Arab Saudi akan dapat dilaksanakan lagi di samping dapat mendedahkan anggota ATM dalam persekitaran yang berbeza," katanya ketika ditemui selepas majlis itu di Kedutaan Arab Saudi di sini, Sabtu malam.

Penyampaian pingat itu disempurnakan Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia Fahad Al-Rasheed.

Eksesais bermula 16 Feb hingga 10 Mac lepas itu, menyaksikan Malaysia antara 20 negara Islam yang dijemput kerajaan Arab Saudi untuk melaksanakan eksesais pelbagai hala berkonsepkan 'Command Post Exercise (CPX)' dan 'Field Training Exercise (FTX)' yang berlangsung di Utara negara berkenaan.

Selain Malaysia, antara negara lain yang terlibat ialah Jordan, Bahrain, Oman, Qatar, Maldives, Mesir dan Pakistan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain