suria

Mitos, Lagenda Negara Serikan Citrawarna 2016

MERIAH... Aksi para penari sewaktu membuat persembahan pada sambutan Citrawarna Kuala Lumpur 2016 di Dataran Merdeka pada Ahad malam. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Bertemakan Unleash The Moment, Unfold The Stories, Citrawarna@Kuala Lumpur 2016 berlangsung penuh gemilang di Dataran Merdeka pada Ahad malam.

Persembahan yang disertai hampir 1,000 penari ini menampilkan persembahan jalanan yang unik berdasarkan kisah-kisah mitos dan lagenda rakyat yang terkenal di setiap negeri di Malaysia.



Antaranya, Jentayu (Perlis), Merong Maha Wangsa (Kedah), Puteri Limau Purut (Perak), Cik Siti Wan Kembang (Kelantan), Bukit Puteri (Terengganu), Tasek Chini (Pahang), Lata Kijang (Negeri Sembilan), Hang Tuah 5 Bersaudara (Melaka), Upu  Chendera (Selangor), Puteri Gunung Ledang (Johor), Huminodun (Sabah) dan Tugau (Sarawak).

Tidak ketinggalan, kisah mitos dan lagenda  kaum Cina, India, Siam dan Orang Asli turut dipersembahan.

Acara tahunan yang mula diperkenalkan pada 1999 ini dirasmikan oleh Menteri Pelancongan Dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan dihadiri timbalannya Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Tan Sri Dr Ong Hong Peng dan timbalannya, Datuk Rashidi Hasbullah.



Konsep mitos yang dipilih kali ini bagi mengimbas kembali kisah dongeng di setiap negeri agar 'tidak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas'.

Dalam pada itu hampir 3,000 pengunjung tempatan dan luar negara hadir sama-sama memeriahkan Citrawarna 2016.

Salah seorang pelancong asing dari Perancis, Fiona,30, begitu teruja dengan acara yang berlangsung malam ini.

"Sangat teruja dan pertama kali melihat acara warni dan sangat bertuah kerana berpeluang mempelajari tarian tradisional rakyat Malaysia," jelasnya yang tiba di negara ini, Jumaat lalu.

Selain itu, kemeriahan Citrawarna 2016 turut dijayakan dengan persembahan artis tempatan seperti Ayda Jebat, Aweera, Drama Band, Arja Lee, Bem Barhasa, Afifah Nasir, Manthin, Nornadira Johari, Vanidah Imran dan Terrence Dass.

Citrawarna 2016

Artikel Lain