suria

Rela Boleh Bantu Kurangkan Risiko Kemalangan Pelajar Sekolah

NEW YORK: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menawarkan khidmat anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bagi mengawal lalu lintas di kawasan sekolah untuk mengelak risiko kemalangan maut melibatkan pelajar seperti yang berlaku di Terengganu dan Perak baru-baru ini.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, perkara itu boleh dibincangkan oleh pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Rela.

"Saya fikir kita tak boleh meletakkan tanggungjawab (menjaga keselamatan pelajar) kepada Kementerian Pendidikan atau pihak sekolah sahaja tetapi kita perlu melihat juga aspek tanggungjawab pengendali kenderaan, (dan) PIBG.

"Saya sebagai Menteri Dalam Negeri sedia menawarkan anggota RELA untuk membantu mengawal lalu lintas di sekolah jika diperlukan," katanya kepada wartawan Malaysia di sini.

Beliau menegaskan keselamatan anak-anak di luar kawasan sekolah tidak harus dipandang ringan dan reaksi masyarakat tidak seharusnya bersikap 'sudah terhantuk baru tengadah' kerana langkah awal perlu diambil bagi mengelak kejadian seumpama itu.

Pada 21 September lepas, Mohammad Haikal Helme, 10, murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan Teluk Medan di Bagan Serai, Perak, dirempuh treler membawa muatan ayam ketika dia melintas untuk memasuki perkarangan sekolahnya.

Sehari sebelum itu, seorang murid di Dungun, Terengganu turut dilanggar ketika sedang melintas jalan ke sekolahnya.

Ahmad Zahid berada di sini bagi mengetuai delegasi Malaysia pada Sesi ke-71 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain