suria

Derita Bayi Otak Luar Tempurung Kepala

Hasida Ahmad, 35, (kanan) merenung bayi lelakinya berusia lima bulan, Muhammad Fakhrullah Firdaus.

ALOR SETAR: Sepasang suami isteri buntu memikirkan nasib bayi lelaki mereka berusia lima bulan yang menghadapi masalah sebahagian otak di luar tempurung kepala iaitu di bahagian belakang sejak lahir.

Hasida Ahmad, 35, berkata masalah itu menyebabkan perkembangan Muhammad Fakhrullah Firdaus tidak sesempurna bayi seusianya yang lain dan memerlukan penjagaan lebih rapi.

Suri rumah yang tinggal di Flat Simpang Kuala di sini itu berkata masalah itu hanya diketahui selepas melahirkan anak ketiganya itu pada 2 April lalu apabila melihat ketulan pada bahagian belakang kepala anaknya.


Muhammad Fakhrullah Firdaus yang berusia lima bulan menghidap masalah sebahagian otak di luar tempurung kepala bahagian belakang sejak lahir.

"Masa saya mengandung bayi saya sempurna dan doktor tidak dapat mengesan masalah itu sehingga saya melahirkannya (Muhammad Fakhrullah)," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, Ahad.

Menurutnya, pembedahan untuk membuang sebahagian otak di luar kepala juga tidak boleh dilakukan disebabkan beberapa faktor yang boleh meragut nyawa bayi itu.

Muhammad Fakhrullah terpaksa menahan derita apabila sebahagian otaknya berada di luar tempurung kepala dengan saiz sebesar telur ayam atau kira-kira lima sentimeter dan perlu dibalut dengan kain bersih bagi mengelak terkena jangkitan kuman.

Sementara itu, suami Hasida, Firdaus Mohd Rahim, 35, yang bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM1,000 sebulan berkata, beliau membelanjakan kira-kira RM400 sebulan untuk perbelanjaan anaknya itu selain perlu menyara dua lagi anak lelaki masing-masing berusia 8 dan 5 tahun.

Beliau berkata dalam tempoh tiga hari sekali atau seminggu sekali anaknya akan diserang penyakit sawan dalam tempoh beberapa minit sebelum kembali pulih seperti sedia kala.

Mereka yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 152050233296 (Firdaus Mohd Rahim) atau menghubungi Hasida di talian 0174687531.

Artikel Berikut

Artikel Lain