suria

PAS Jadi 'Spoiler' Jika Pilihan Raya Mengejut Di Selangor

Khalid Samad.

KUALA LUMPUR: PAS dilihat sebagai 'spoiler' sekiranya pilihan raya mengejut diadakan di Selangor kerana isu yang melanda parti Islam itu masih belum selesai, kata Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad.

Beliau berkata, tiada jaminan bahawa kemenangan akan berpihak kepada Pakatan Harapan memandangkan PAS merupakan sebahagian daripada kerajaan negeri.

"PAS tidak komited sama ada ia berpihak kepada Pakatan Harapan atau kerajaan Barisan Nasional  (BN) atau 'third force'.

"Persoalannya nanti... PAS akan menjadi salah satu daripada pihak (bertanding), jadi akan ada tiga penjuru. Risiko (menang atau kalah) ada," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Amanah di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai cadangan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang pada Isnin supaya kerajaan Selangor digesa menimbang kemungkinan mengadakan pilihan raya negeri mengejut bagi mengelak berlakunya peralihan kuasa pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.

Kit Siang berkata, cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya di Selangor oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilihat sebagai langkah untuk memberi peluang kepada Umno kembali berkuasa di negeri itu.

Ditanya sama ada PAS akan menjadi penentu kemenangan atau kekalahan Pakatan Harapan di Selangor, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, parti itu hanya akan mengelirukan pengundi.

"PAS akan timbulkan kekeliruan... pengundi akan keliru nak undi siapa. Oleh itu, kita kena kaji sejauh mana ia akan memberi kesan kita.

"Terlalu awal nak kata setuju atau tidak. Kita perlu kaji untuk lihat sama ada cadangan itu capai matlamat atau tidak," katanya.

Pada masa sama, Khalid meminta SPR supaya bertindak secara bertanggungjawab dengan membuat penyusunan berhubung persempadanan yang lebih adil, bukan berpihak kepada kerajaan BN semata-mata.

Sebelum ini kerajaan DAP Pulau Pinang pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng turut berhasrat mengadakan pilihan raya mengejut di negeri itu bagi mengetahui sikap rakyat berhubung tuduhan rasuah yang dihadapinya.

Walau bagaimanapun hasrat berkenaan gagal dilaksanakan.


Artikel Lain