suria

Bapa Ahli PKR Cedera Dalam Cubaan Rompakan Berparang Di Klang

KLANG: Bapa kepada Ahli Majlis Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmizam Zaman Huri ditetak dalam kes cubaan samun di rumahnya di Lengkuk Sri Siantan 50, Taman Sri Andalas di sini pagi Isnin.

Zaman Huri Md Napis, 63, berada di dalam rumah satu tingkatnya apabila seorang lelaki bersenjatakan parang datang menghampiri isterinya Aminah Abdullah Thani, 62, yang sedang membersihkan anjung rumah kira-kira pukul 9.50 pagi.

"Pintu pagar terbuka pada masa itu dan lelaki itu terus meluru ke arah saya dengan parang di tangannya.

"Saya terus berlari di belakang tempat menjemur pakaian untuk melindungi diri dan memanggil suami saya.

"Lelaki itu mengejar saya dan terus melibaskan parangnya sehingga saya tersandung dan jatuh di depan pintu rumah," katanya.

Aminah berkata suaminya cuba sedaya upaya menghalang lelaki itu daripada memasuki rumah termasuk menolaknya dengan tangan walaupun penyerang tidak henti-henti melibas parangnya.


"Saya lihat tangan kirinya berdarah ketika dia cuba untuk melindungi saya daripada serangan itu dengan tangan kanannya.


"Pada masa itu seorang lagi lelaki bersenjatakan parang muncul dan mahu masuk ke dalam rumah. Tetapi suami terus menghalang mereka.

"Kami menjerit sekuat hati meminta tolong," katanya sambil menambah jeritan itu telah menyedarkan jiran-jiran.


Selepas percubaan mereka untuk memasuki rumah gagal, Aminah berkata, kedua-dua lelaki terbabit melarikan diri bersama sekumpulan penunggang motosikal.


"Kami nampak mereka terdiri daripada lima hingga enam orang yang menaiki motosikal dengan muka mereka dilindungi sepenuhnya.

"Malah mereka juga mengangkat dan menunjukkan parang mereka kepada kami dan jiran lain sebelum mereka memecut," katanya.

Azmizam yang juga penyelaras PKR Port Klang, berkata, beberapa jiran kemudian membawa ibu bapanya ke hospital untuk rawatan.

"Ayah saya mengalami luka yang dalam di antara ibu jari kiri dan jari telunjuk sehingga tulangnya dapat dilihat dan juga beberapa kesan lebam di kepala," katanya, sambil menambah ibunya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Satu laporan polis telah dibuat kemudian dan polis telah mengambil keterangan daripada pasangan itu.

Menurut Azmizam, polis turut menerima laporan rompakan  dengan modus operandi yang sama dan bilangan penyerang yang sama di Johan Setia di sini dan Taman Permata di Banting pada hari yang sama.

"Kawasan ini selamat dan tiada jenayah dilaporkan sejak beberapa tahun lalu dan ini adalah kali pertama cubaan rompakan telah berlaku.


"Saya harap polis akan memperketatkan rondaan di kawasan itu, terutama pada siang hari apabila kebanyakan penduduk keluar bekerja dan hanya warga tua dan kanak-kanak yang tinggal di rumah," kata Azmizam.

Artikel Lain