suria

Haron Din Meninggal Dunia

Datuk Dr Haron Din
PETALING JAYA: Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din yang dilaporkan koma dan kritikal sebelum ini meninggal dunia, pagi Jumaat.

Perkara ini disahkan oleh Ketua Penerangan PAS Pusat Nasrudin Hassan Tantawi dalam pesanan ringkasnya kepada pihak media, yang turut dimuat naik di laman Facebooknya.

"Jam 10.10 pagi ini (waktu Malaysia), berita kami terima bahawa Tuan Guru Datuk Dr Haron Din telah kembali ke rahmatullah di Hospital Stanford University, AS.

"Semoga Allah mencucuri rahmatnya dan mengampuni almarhum Tuan Guru serta menggolongkan beliau dari kalangan hambaNya yang soleh," katanya.

Nasrudin berkata keluarga Haron dijangka memberi maklumat selanjutnya.

Sementara itu Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli, dilaporkan berkata Haron mengamanatkan kepada ahli keluarga dan rakan seperjuangannya di negeri itu untuk dikebumikan di AS jika ditakdirkan meninggal dunia di negara itu.

"Pesanan itu disampaikan Allahyarham di Pusat Rawatan Darussyifa di Santan, di sini, sebelum berlepas ke AS pada 10 September lalu," kata Mohd Shukri memetik bharian.com.

Haron, 76, yang berasal dari Kangar, Perlis dan aktif menyertai PAS sejak 1974 sudah beberapa kali menerima rawatan komplikasi jantung sebelum ini.

Pada 2 April 2012, beliau telah menjalani pembedahan pintasan jantung di Hospital Stanford.

Mac lalu, beliau telah menjalani rawatan di Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur.

Haron menggantikan Datuk Nik Aziz Nik Mat sebagai Mursyidul Am PAS pada Mac 2015.

Semasa bersama dengan PAS, beliau menjadi ahli Jawatankuasa PAS Pusat dari 1975-1985 dan kemudian sebagai Ketua Majlis Syura Ulama Pas.

Dr Haron bertanding dalam tiga pilihan raya umum di kawasan Parlimen Arau, tetapi kalah dalam ketiga-tiga pertandingan.

Pada Pilihan Raya Umum 2013, beliau tewas 1,371 undi kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Beliau meninggalkan seorang isteri Datin Khadijah Salleh dan lima anak, Huda, Hamdi, Salwa, Najmi dan Hana.

Haron juga merupakan pengasas Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Malaysia (Darussyifa) di Bangi, Selangor.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah meminta keluarga memutuskan untuk menguruskan jenazah dibawa pulang ke Malaysia sesegera mungkin.






Artikel Sebelum

Artikel Lain