suria

Masjidil Haram Kembali Jadi Tumpuan Jemaah Haji

MAKKAH: Masjidil Haram kembali menjadi tumpuan jemaah haji untuk menyempurnakan tawaf dan saie haji selepas jemaah menyelesaikan kerja wajib haji iaitu melontar ketiga-tiga jamrah di Mina pada petang semalam (Khamis).

Selepas berwukuf, di Arafah jemaah perlu bermabit di Muzdalifah sebelum melontar jamrah Aqabah pada hari nahar atau pada Aidiladha.

Seterusnya, pada hari tasyrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijah, jemaah melontar jamrah Ula, Wusta dan Aqabah. Dalam tempoh itu, jemaah bermalam di Mina.

Masjid yang sedang pesat melalui proses pembesaran itu mula dibanjiri jemaah haji sejurus selesai nafar awal dan nafar thani, iaitu setelah jemaah selesai melontar.

Difahamkan jumlah jemaah haji pada tahun ini adalah 1.8 juta orang dan jumlah ini jauh berbeza daripada tahun lalu yang dianggarkan hampir tiga juta.

Ketika menunaikan tawaf dan saie haji awal pagi ini didapati kawasan sekitar masjid tidak sesak dengan kebanjiran jemaah kerana ruang tawaf di dataran Kaabah tidak padat sepenuhnya dan sekali gus memudahkan untuk bertawaf.

Bagaimanapun keadaan sedikit berbeza selepas solat Subuh kerana hampir segenap ruang di dataran Kaabah dipenuhi jemaah untuk berrawaf.

Masjidil Haram, haji, Mina, Makkah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain