suria

Laluan MRT Sg Buloh-Kajang Siap Ikut Jadual Tanpa Kos Tambahan - PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika hadir di upacara pecah tanah laluan MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP), di Putrajaya, Khamis.

PUTRAJAYA: Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) MRT dijangka siap mengikut jadual tanpa sebarang kos tambahan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Laluan MRT-SBK sepanjang 51 kilometer yang menelan kos RM23 bilion itu kini 89 peratus telah siap.

"Laluan MRT pertama itu (Laluan SBK) berjalan lancar mengikut jadual dan akan disiapkan tanpa sebarang kos tambahan," katanya pada upacara pecah tanah laluan MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP), di sini, Khamis.

Fasa pertama laluan metro antara Sungai Semantan dan Sungai Buloh dijangka mula beroperasi pada Disember tahun ini, manakala baki landasan sehingga Kajang dijangka siap pada Julai 2017.

Mengenai laluan MRT SSP, Najib berkata, landasan sejauh 52.2 kilometer itu yang akan dibina dengan kos RM32 bilion, dijangka beroperasi penuh pada suku kedua 2022.

Beliau berkata stesen akhir laluan SSP itu adalah Putrajaya Sentral, yang akan menampung keperluan penduduk di Putrajaya dan Cyberjaya dan akan memendekkan masa perjalanan mereka ke Kuala Lumpur hanya selama kira-kira 30 minit.

"Saya juga difahamkan yang laluan ini (SSP) akan mempunyai stesen pertukaran dengan perkhidmatan kereta api sedia ada (seperti) KTM Komuter, LRT, Monorel dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi KL-Singapura akan datang," katanya.

Kedua-dua laluan SBK dan SSP itu akan menggunakan 58 tren bagi setiap laluan.

Artikel Lain