suria

Dua DUN Di Pahang Berubah Kawasan, DUN Kuala Sentul Bakal Lenyap

KUANTAN: Dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang bakal diubah nama dan kawasannya menerusi persempadanan semula yang disyorkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menerusi notis kajian persempadanan yang dipamerkan di pejabat SPR Pahang di Wisma Persekutuan di sini Khamis, DUN Kuala Sentul yang terletak di bawah kawasan Parlimen Maran sebelum ini bakal 'lenyap'.

Dua daripada lapan pusat daerah mengundinya (PDM) iaitu Jengka 1 dan Sungai Jerik akan dimasukkan ke DUN Jengka, manakala enam lagi PDM iaitu Felda Ulu Jempol, Jengka 2, Jengka 3, Jengka 4, Jengka 5 dan Kampung Kuala Sentul akan diletakkan di bawah DUN Luit Parlimen Maran.

Sebagai gantian, DUN Kuala Sentul akan digantikan dengan DUN Jengka yang sebelum ini terletak di bawah Parlimen Kuala Krau.

Untuk rekod, DUN Kuala Sentul kini disandang wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Datuk Shahaniza Shamsuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Pahang setelah menewaskan calon PKR pada pilihan raya umum ke-13 dengan majoriti 3,293 undi.

Selain itu, sebahagian daripada DUN Kuala Semantan yang kini di bawah Parlimen Temerloh disyor menjadi DUN Paya Pulai dengan mempunyai sebanyak 11,229 pemilih berdaftar dan disyorkan diletakkan di bawah Parlimen Kuala Krau.

Jurucakap SPR Pahang juga memaklumkan tiada perubahan bilangan kawasan Parlimen dan DUN di negeri ini, manakala jumlah pengundi yang diwartakan di negeri ini sehingga 13 Mei lalu ialah sebanyak 740,023 orang.

Sementara itu, Shahaniza yang dihubungi malam ini enggan mengulas tentang syor persempadanan semula oleh SPR itu dan menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat penilaian nanti. - BERNAMA

DUN Pahang, SPR, Kuala Sentul

Artikel Lain