suria

Plat Kenderaan 'Perfect' Tiada Kaitan Dengan Syarikat Jualan Langsung - TTAM

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR:  Persatuan Ping Pong Malaysia (TTAM) melelong plat kenderaan siri "Perfect" untuk mengumpul dana bagi memenuhi kekurangan apabila menjadi tuan rumah kejohanan dunia pada Februari tahun depan.

Naib Presidennya, Han Kee Juan berkata defisit berlaku selepas lokasi kejohanan ditukar dari Stadium Bukit Jalil ke Stadium Malawati yang kosnya meningkat dari RM10 juta kepada RM16 juta.

Jelas beliau, dengan kebenaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), TTAM melelong plat kenderaan siri "Perfect" bagi mengumpul dana RM5 juta dan menjual 80 daripada 100 nombor yang diperuntukkan.

Beliau berkata penggunaan perkataan "Perfect" menggambarkan nama penuh kejohanan Kejohanan Ping Pong Pasukan Dunia Perfect 2016 - dan menghargai Presiden TTAM, Tan Sri Koo Yuen Kim yang menaja RM5 juta untuk kejohanan tersebut melalui syarikatnya, Perfect Co.Ltd.

Han berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming yang berkata sebuah syarikat jualan langsung dikenali sebagai Perfect menyalahgunakan hubungannya dengan JPJ apabila menjual plat kenderaan untuk mengaut keuntungan besar.

Kee Juan turut menuntut permohonan maaf daripada Kor Ming dengan berkata tuduhan itu menjejaskan nama baik persatuan dan boleh menghalang usaha pengumpulan dana pada masa hadapan.

Beliau berkata perkataan "Perfect" boleh digunakan dalam pelbagai cara.

"Plat kenderaan ini tiada logo atau kaitan dengan syarikat jualan langsung tersebut. Malah, banyak syarikat lain menggunakan nama Perfect," kata Kee Juan dalam satu sidang media di ibu pejabat TTAM di sini.

Ditanya sama ada wang yang diperolehi itu digunakan sepenuhnya untuk kejohanan tersebut, Kee Juan berkata lebihan daripada pengumpulan dana itu akan disalurkan kepada usaha lain TTAM termasuk menyediakan latihan kepada pemain dan membina sebuah rumah kelab baharu.

Jelasnya, akaun persatuan itu benar-benar telus dan diaudit setiap tahun oleh akauntan bertauliah dan Suruhanjaya Sukan.


TTAM, lelong, plat kenderaan Perfect

Artikel Berikut

Artikel Lain