suria

Teliti Cadangan Rakyat Dalam Laman #Bajet2017 - PM

Orang ramai boleh memberikan cadangan bernas mengenai Bajet 2017 dalam laman khas https://bajet2017.najibrazak.com sebelum 19 September ini.
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak mahu semua kementerian dan agensi-agensi di bawahnya meneliti cadangan yang diutarakan rakyat dalam laman #Bajet2017.

Perdana menteri berkata tindakan itu perlu kerana banyak cadangan yang diberikan rakyat dalam laman khas itu berkait dengan urusan kementerian.

"Ini pandangan dan pendapat rakyat, perlu semua ambil maklum," katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya, Khamis.

Najib yang juga Menteri Kewangan pada masa sama berkata setakat ini, laman khas itu telah berjaya menerima ribuan cadangan baik daripada rakyat.

"Terima kasih, cadangan baharu amat dialu-alukan sebelum tarikh tutupnya pada 19 September," katanya.

Idea yang telah disumbangkan setakat ini merangkumi topik seperti kos sara hidup, perkhidmatan penjagaan kesihatan, perumahan dan kehidupan bandar, pengangkutan dan infrastruktur, pembangunan ekonomi dan pendidikan.

Seorang penyumbang idea, Khairul Annuar mencadangkan agar kerajaan menaik taraf perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dengan menambah laluan baharu serta kekerapan perkhidmatan tren KTM Komuter.

"Ini kerana apabila tren antara bandar dapat dipercepatkan dan ditambah kekerapan maka lebih ramai akan beralih hidup di luar bandar atau di kawasan kampung (bandar kecil) walaupun mereka bekerja di Lembah Klang," katanya yang memuat naik cadangan itu dalam laman khas #Bajet2017 Khamis.

Orang ramai masih boleh memberikan sebarang cadangan bernas mengenai Bajet 2017 dalam laman khas https://bajet2017.najibrazak.com yang diperkenalkan sejak 5 September lalu, sebelum 19 September ini.

Bajet 2017 akan dibentangkan di Parlimen pada 21 Oktober ini.

Artikel Berikut

Artikel Lain