suria

Dalam Fikiran Seorang Pengebom Berani Mati

Fadzly Ariff Zainal Ariff maut pada 26 September selepas memandu sebuah trak yang penuh dengan tujuh tan bahan letupan ke arah sebuah jambatan di Buhayrat, bertempat di Fallujah.

PETALING JAYA: Keluarga dan orang tersayang tidak lagi penting bagi pengebom berani mati di kalangan rakyat Malaysia kerana fikiran mereka telah dipengaruhi dengan matlamat untuk melancarkan serangan bagi Negara Islam (IS).

Kumpulan yang dipercayai telah dilatih untuk melancarkan serangan berani mati ke atas sasaran tempatan sudah bersedia dari segi mental untuk mengorbankan segala-galanya.

Pakar keganasan tempatan, Ahmad El-Muhammady percaya bahawa apabila tiba masanya, tiada apa yang boleh menghentikan anggota kumpulan ini daripada merealisasikan matlamat akhir mereka.

"Berdasarkan pengalaman saya ketika berurusan dengan ahli-ahli JI (Jemaah Islamiyah), mereka tidak mengambil berat tentang semua itu.

"Terutamanya apabila mereka telah mencapai tahap di mana mereka berkata, 'tidak kira sama ada ia adalah ibu saya, ayah saya, adik-beradik saya atau saudara saya, mereka semua musuh saya'. Habislah," kata pensyarah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu.

Ahmad berkata, pegawai polis kanan pernah menceritakan kepadanya perbualan mengejutkan dengan pengganas terknal Singapura - Mas Selamat Kastari, yang ditahan di Malaysia pada tahun 2009.

Ditanya sama ada dia akan meletupkan sesuatu tempat itu jika isteri dan anak-anaknya berada di dalamnya, Mas Selamat didakwa menjawab: "Ya, itu rezeki dia."

"Itu mentaliti yang ada padanya," kata Ahmad, sambil menambah bahawa ini adalah sebab utama mengapa ancaman serangan berani mati di negara sendiri tidak boleh dipandang ringan.

Ia juga tidak benar jika dikatakan seseorang pengebom berani mati itu perlu didedahkan kepada keganasan atau peperangan agar mereka dapat membiasakan diri untuk melakukan perbuatan yang boleh membawa maut.

"Walaupun militan tempatan kita tidak pergi ke sana (ke Syria), akan ada seseorang yang meyakinkan mereka untuk menjadi pengebom berani mati, dan mereka akan melakukannya."

Ahmad berkata sebagai contoh Dani Dwi Permana, pengebom berani mati yang berusia 18 tahun yang bertanggungjawab melakukan serangan pada 2009 di Hotel JW Marriott di Jakarta.

"Dia (Dani) tidak tahu apa-apa, tetapi telah dipujuk oleh seseorang mengenai kehidupan di akhirat," katanya kepada The Star Online.

Ahmad berkata adalah sukar untuk meramalkan apa yang akan dilakukan IS dan pengikutny, tetapi beliau percaya ia hanya menunggu masa sebelum mereka mendapatkan dana yang diperlukan untuk merealisasikan matlamat mereka.

"Masalah untuk mereka sekarang adalah dana. Apabila mereka mendapat dana, mereka boleh mendapatkan senjata dan peralatan dari Syria."

Beliau berkata, penahanan 12 suspek militan di Gunung Nuang pada April tahun lepas untuk menguji bom di dalam hutan adalah satu peringatan bahawa rancangan kumpulan pengganas itu semakin maju.

"Mereka hampir memperoleh keupayaan itu, tetapi telah digagalkan oleh polis," katanya.


Ahmad Tarmimi Maliki

Pada 2014, lelaki kelahiran Pahang Ahmad Tarmimi Maliki menjadi rakyat Malaysia pertama maut sebagai pengebom berani mati IS selepas dia memandu kenderaan tentera yang dipenuhi dengan bahan letupan ke ibu pejabat SWAT di Iraq hingga membunuh 25 askar.

Seorang lagi rakyat Malaysia , Fadzly Ariff Zainal Ariff meninggal dunia pada 26 September selepas memandu sebuah trak yang penuh dengan tujuh tan bahan letupan ke arah sebuah jambatan di Buhayrat, bertempat di Fallujah.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain