suria

Awas Tawaran Pendakap Gigi Pada Harga Runtuh

PETALING JAYA: Selain menawarkan perkhidmatan pada kos yang lebih rendah berbanding dengan rawatan doktor gigi biasa, penyamar di media sosial turut menawarkan diskaun khas.

Berdasarkan carian pantas di Instagram dan Facebook menunjukkan bahawa rawatan ortodontik seperti pendakap gigi ditetapkan pada kos di bawah RM1,000.

The Star menghantar mesej Whatsapp kepada salah satu daripada nombor yang diberikan dalam akaun Instagram yang menunjukkan bahawa permintaan untuk mendapatkan satu set lengkap pendakap gigi berharga kira-kira RM850 berbanding kos antara RM4,000 dan RM8,000 di sebuah klinik tulen.

Ketika dihubungi, pengendali itu berkata beliau telah mengadakan promosi khas.

"Sekarang saya ada promosi RM700 bersama-sama dengan pemutihan gigi," kata lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Kamal.

Lelaki berkenaan meminta mengirimkan gambar keseluruhan gigi pesakit melalui telefon bimbit supaya dia boleh menilai rawatan yang diperlukan.

Selepas itu, dia meminta deposit sebanyak RM100 melalui transaksi bank sebelum dia mendedahkan lokasinya.

Rawatan yang dikatakan itu dijadual dilakukan hari ini (Jumaat) bertempat di rumahnya di Taman Medan, di sini.

Ia akan dilakukan oleh seorang wanita.

"Ia okay sis, semua peralatan ada di sini. Anda hanya perlu datang," katanya.

Beliau berkata sebaik sahaja pendakap telah dipasang, pesakit perlu datang untuk mendapatkan perkhidmatan pemutihan yang menelan belanja RM50 untuk gigi atas dan bawah.

Ditanya mengenai pembayaran itu, Kamal berkata bakinya perlu dibayar selepas pendakap gigi siap dipasang.

Selain itu pemeriksaan di media sosial menunjukkan beberapa pengusaha haram menyediakan rawatan rumah ke rumah dengan bayaran tambahan.

Anda hanya perlu menaip hashtag #bracesmurah di Instagram dan pelbagai perkhidmatan seperti itu akan muncul.

The Star turut menghubungi pengendali akaun Instagram lain yang menjual teeth trainer pada harga hanya RM29.

Ketika dihubungi seorang wanita dengan suara yang lemah lembut berkata, dia juga memakai teeth trainer dan hasilnya gigi boleh dibentuk dengan baik dalam masa beberapa bulan.

Pembeli hanya perlu membuat pembayaran RM29 secara dalam talian bersama kos perkhidmatan pos tambahan antara RM7 dan RM10.

"Terdapat dua jenis teeth trainer, satu digunakan untuk fasa satu dalam tempoh lima bulan dan fasa kedua adalah untuk penyelenggaraan.

"Jika anda membeli kedua-duanya, ia akan menjadi lebih murah, hanya RM60.

"Jika anda membeli secara berasingan, harganya adalah RM29 untuk fasa pertama dan RM39 untuk yang kedua," kata wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai Nisa.

Pendakap Gigi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain