suria

Azizul Sedih, Sempat Temani KD Beberapa Jam Sahaja

SHAH ALAM: Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio, Azizulhasni Awang meluahkan rasa sedih kerana hanya dapat meluangkan masa kurang 10 jam bersama anak keduanya yang dirawat di sebuah hospital di Ipoh, Perak.

Atlet negara itu perlu bergegas dari Ipoh ke sini kerana  perlu menghadiri acara berbasikal anjuran penajanya, Sime Darby pada Sabtu pagi.

Jaguh berbasikal negara itu berkata, beliau sempat menemani Amna Khadeeja yang berusia 10 bulan semalaman bagi memberi semangat buat anaknya yang mengalami jangkitan paru-paru.

"Saya sangat sedih dan sedikit kurang bersemangat pagi ini tapi alhamdulillah dapat berjumpa anak saya dan berada disisinya sepanjang malam tadi.

"Walaupun balik jauh dan tak cukup tidur tapi saya gembira kerana sempat melawatnya di hospital," katanya ketika ditemui pada pada program Ride With Olympian di Elmina Pavilion di Seksyen U16 di sini, Sabtu.

Azizulhasni yang dikenali dengan gelaran The RocketPocketMan itu percaya, Khadeeja seorang pejuang yang tabah untuk melawan sakit yang dialami.

Beliau juga turut berharap agar anaknya kembali sembuh dan meminta orang ramai mendoakan kesihatan anaknya.

"Khadeeja seorang anak perempuan yang kuat dan saya nampak dia berjuang habis-habisan.

"InsyaAllah beberapa hari lagi dia akan sembuh dan doakan juga kesihatan anak saya," katanya.

Azizulhasni bersama isteri Athiah Ilyana Abd Samat dikurniakan dua cahaya mata iaitu Amna Maryam dan Amna Khadeeja.

Azizul disambut anak sulungnya, Amna Maryam sebaik tiba di KLIA, Jumaat petang.

Pada masa sama, bapa dua anak itu meluahkan rasa syukur atas kejayaannya merangkul gangsa pada final acara keirin Sukan Olimpik 2016 di Rio De Janeiro pada Rabu lalu.

Pelumba kelahiran Dungun ini juga berhasrat untuk beraksi semula pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo bagi merangkul pingat emas.

Artikel Lain