suria

"Saya Maafkan Suspek" - Bapa Noor Amila

Rohani bertemu dengan ibu bapa kepada Noor Amila di kediaman mereka pada Jumaat.

KUALA LUMPUR: Bapa kepada kanak-kanak lima tahun, Noor Amila Edrus Norsham telah memaafkan ahli keluarga yang dipercayai menculik dan membunuh anak lelakinya itu.

Norsham Jalil, 63, berkata beliau percaya untuk menjadi seorang Muslim yang baik, anda perlu memaafkan suspek.

"Biar nasib dia ditentukan undang-undang.

"Saya tidak boleh bercakap mengenai apa yang berlaku, mungkin dia berada di bawah pengaruh syaitan," katanya kepada pemberita di luar kediamannya di Perumahan Awam Jinjang Utara pada Jumaat.

Jenazah Noor Amila dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 5 Sungai Emas, malam Khamis.

Mayat tanpa kepala Noor Amila yang juga anak kelapan daripada sembilan beradik dipercayai dicampak ke dalam gaung di Kampung Kemensah, Hulu Kelang di sini.

Sumber yang rapat dengan siasatan kes itu berkata mayat kanak-kanak tersebut ditemui apabila suspek membawa polis ke kawasan gaung kira-kira pukul 2 petang Khamis.

Noor Amila dilihat kali terakhir dekat sebuah masjid di Rumah Panjang Jinjang Utara, dekat rumahnya kira-kira pukul 7.20 malam pada 11 Ogos lalu.

Pada 15 Ogos, ahli keluarga kanak-kanak itu ditahan bagi membantu siasatan.

Polis mengklasifikasikan semula kes dari laporan orang hilang kepada kes culik berikutan penangkapan suspek.

Isteri Norsham, Norrihan Bakar, 51, berkata dia sentiasa takut dengan suspek.

"Dia seorang yang pendiam dan misteri.

"Kami menyedari dia tidak begitu menyukai Noor Amila kerana dia sering memarahinya kerana sering membuat bising tetapi tidak menjangka dia akan bertindak sedemikian," katanya.

Norsham berkata lelaki itu turut menyertai mereka dalam operasi mencari Noor Amila.

Dalam pada itu, Norrihan berterima kasih kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim yang meluangkan masa menziarahi keluarganya pada Jumaat.

Beberapa pegawai kementerian itu turut menawarkan khidmat kaunseling kepada keluarganya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain