suria

Dasar Luar Perlu Seiring Kepentingan Negara - PM

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia perlu beralih haluan daripada pendekatan lampau memandangkan  dasar luarnya perlu berkisar kepada usaha menjalin kerjasama yang membawa manfaat kepada rakyat dan negara.

Berucap merasmikan persidangan dwitahunan Pertubuhan Komanwel bagi Pentadbiran Awam dan Pengurusan (Capam) di sini, Khamis, Najib menegaskan kepentingan negara perlu diberi keutamaan dan bukannya kepentingan politik peribadi.

"Kami di Malaysia, percaya dalam usaha mendekati negara-negara lain, kita perlu mengekalkan pendirian yang bebas, berkecuali dan berprinsip tanpa mengira sistem dan ideologi politik dalam hal ehwal di peringkat serantau dan antarabangsa," katanya.

Bagaimanapun, katanya, Malaysia tidak percaya kepada campur tangan asing dalam hal ehwal domestik negara-negara lain.

"Kami bertegas bahawa zaman di mana kuasa imperial boleh memberi arahan tentang bagaimana untuk menjaga tingkah laku, baik dari segi politik, ekonomi atau budaya, sudah berlalu, katanya.

Merujuk kepada pemimpin yang lalu, Najib berkata Malaysia telah membuat keputusan bahawa dasar luarnya tidak akan lagi digambarkan dengan kata-kata kaustik dan ulasan pedas sebaliknya mengambil pendekatan kesederhanaan.

"Ini akan membolehkan kita menarik perhatian dan mempromosikan persefahaman.

Perkara ini adalah satu keutamaan baik di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa" katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memalu gong sebagai simbolik perasmian Persidangan Dwitahunan Pertubuhan Komanwel bagi Pentadbiran Awam dan Pengurusan (CAPAM) 2016 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Khamis.

Najib membidas pemimpin sebelum ini yang secara sengaja mengamalkan dasar berkonfrontasi dengan negara luar, mungkin untuk kepentingan peribadi.

Dalam membuat pilihan untuk berbeza daripada yang lain dan beralih haluan daripada pendekatan lampau, Najib berkata: "Tiada lagi desakan atau tersentak dengan pertikaian lama atau tidak habis-habis dengan dendam lama yang sudah dilupakan orang.

Najib berkata usaha membina hubungan dan menjalin kerjasama ekonomi dengan negara-negara lain sebenarnya merupakan suatu pendekatan yang menggalakkan kepada keamanan, keselamatan dan kemakmuran untuk rakyatnya.

"Perkara ini menjadi pendekatan kami - dan kami telah melihat manfaatnya, katanya sambil memberi contoh tentang bagaimana beliau telah berusaha untuk menangani isu-isu legasi dengan Singapura berhubung penyelesaian kepada Points of Agreement (POA) pada 2010 selepas 20 tahun menghadapi jalan buntu.

Beliau juga menarik perhatian bahawa Malaysia dan Singapura akan membina projek kereta api berkelajuan tinggi di antara Kuala Lumpur dan Singapura bagi meningkatkan kesalinghubungan, peluang ekonomi dan hubungan rakyat dengan rakyat.

Di Filipina, Malaysia memudahkan rundingan bagi menyelesaikan pemberontakan yang sudah lama berlarutan di Asia, katanya.

Hasrat Malaysia untuk menjalin hubungan tidak terhad hanya kepada Asia Tenggara dan telah membina hubungan yang kukuh di seluruh dunia dengan China, India, Rusia, Amerika Syarikat, Jepun dan Kesatuan Eropah dan banyak lagi negara lain, kata Najib.

Malaysia juga percaya kepada keterbukaan serantau dan memperluaskan perdagangan bebas dan telah menandatangani 13 perjanjian perdagangan bebas dengan negara-negara lain, katanya.

"Sesungguhnya, hubungan Malaysia dengan rakan-rakan kami di seluruh benua memang amat baik, dan hubungan ini telah membuahkan hasil yang ketara," katanya.

Malaysia juga telah menandatangani Perjanjian Trans-Pasifik (TPP) berdasarkan termanya sendiri tanpa mengorbankan kepentingan negara, katranya.

Beliau berkata jika TPP diteruskan seperti yang dirancang, PricewaterhouseCoopers meramalkan ia akan menjadikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia meningkat kepada AS$211 bilion antara 2018 dan 2027, dan akan membawa pelaburan tambahan sehingga AS$239 billion.


Malaysia, Capam, Perdana Menteri

Artikel Berikut

Artikel Lain