suria

Remaja 17 Tahun Ditahan Cuba Masuk Kem Tentera

JOHOR BARU: Seorang remaja lelaki ditahan kerana cuba memasuki Kem Tentera 10 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), KM8, Jalan Tanjung Laboh, dekat Batu Pahat, pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Abdul Wahib Musa berkata dalam kejadian lebih kurang 11.55 pagi itu, remaja berusia 17 tahun yang lengkap berpakaian tentera dan menunggang motosikal itu, cuba memasuki kem tersebut melalui balai pengawal hadapan kem berkenaan.

Beliau berkata remaja lelaki yang beralamat di Taman Sri Panchor itu bagaimanapun gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri ketika ditahan di depan balai pengawal berkenaan.

"Beliau menyatakan minat menyertai tentera dan telah membeli pakaian/peralatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sebuah kedai pakaian tentera di Bandar Kluang, Johor dengan harga RM170 sepasang sejak tiga tahun lalu, namun tidak pernah memakainya.

"Ini juga merupakan pertama kali remaja itu memakai pakaian tersebut. Dia juga mendakwa sering melayari video di YouTube berkaitan ketenteraan dan mempunyai akaun Facebook," katanya dalam kenyataan di sini Khamis.

Hasil siasatan juga mendapati kemungkinan remaja itu mempunyai masalah mental selepas bapanya baru sahaja meninggal dunia tiga hari lepas dan ibunya pula meninggal dunia ketika remaja itu berusia tujuh tahun.

Abdul Wahib berkata remaja itu juga mendakwa memasuki kem tentera hanya mahu menjalani latihan tentera kerana minat yang amat mendalam dan atas kemahuan sendiri tanpa disuruh oleh sesiapa.

Hasil pemeriksaan di rumahnya, polis turut merampas sebuah motosikal, sepasang uniform tentera No.5 celoreng harimau berpangkat Lans Koperal, sepasang kasut hitam jenama SWAT, beg celoreng tentera, uniform tentera No.3 berpangkat Lans Koperal, sepasang uniform celoreng tentera digital No. 5, beret dan topi celoreng tentera.

Abdul Wahib bagaimanapun meminta agar tangkapan itu tidak disensasikan dan menafikan suspek terlibat dengan sebarang aktiviti menangkap pokemon.

Beliau juga mengesahkan kejadian cubaan memasuki Kem Tentera 10 RAMD di Jalan Tanjung Laboh, Batu Pahat ini merupakan kejadian yang pertama kali berlaku.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 171 Kanun Keseksaan kerana memakai pakaian atau membawa tanda yang digunakan oleh penjawat awam dengan niat hendak menipu dan turut disiasat di bawah Seksyen 16 Akta Kesalahan Kecil 1961.

Suspek kini ditahan reman sehingga 14 Ogos di Balai Polis Batu Pahat untuk siasatan lanjut. - BERNAMA

kem tentera, ATM, Batu Pahat

Artikel Lain