suria

Akibat Berhutang Dengan Ceti Haram, Keluarga Hidup Dalam Ketakutan

Gambar hiasan.

GEORGE TOWN: Keluarga ahli perniagaan, Ch'ng Ban Ho, yang dikatakan menghilangkan diri setelah meminjam RM610,000, termasuk faedah, daripada ceti haram, kini hidup dalam penuh ketakutan.

Malah, Loh Ban Wah, 76, ibu kepada ahli perniagaan itu, kini begitu takut untuk keluar rumah setelah beberapa pemungut hutang menyimbah rumahnya dengan cat merah sebanyak empat kali sejak April.

Memburukkan lagi keadaan, para pemungut hutang menampal poster berhampiran sekolah anak-anak Ch'ng, yang memaparkan gambar mereka dengan kapsyen menyatakan bapa mereka adalah penipu.

"Kedua-dua cucu saya, berusia 13 dan 16 tahun, takut hendak ke sekolah kerana berasa terancam dan malu," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat MCA di sini Khamis.

Wanita itu berkata, Ch'ng, 32, meminjam kira-kira RM27,000 beberapa tahun lepas, tetapi hutang itu kini meningkat kepada RM610,000, bersama faedahnya.

"Saya jual kilang baja kecil saya dan beri kepada anak saya RM200,000 untuk membayar hutangnya. Malangnya, dia menghilangkan diri selepas itu dan saya tidak tahu sama ada dia menjelaskan hutang berkenaan," katanya.

Sementara itu, ketua biro perkhidmatan dan pengaduan awam MCA Gui Guat Lye berjanji akan menyelesaikan masalah sekolah anak ahli perniagaan itu dan secara sukarela berusaha untuk menyelesaikan isu hutang melibatkan Ch'ng dan ceti haram berkenaan.

Ketua Polis Timur Laut ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata polis akan menjejaki ceti haram terbabit dan mengheret mereka yang bersalah ke muka pengadilan kerana mengancam keselamatan orang ramai. - BERNAMA



ceti haram

Artikel Lain