suria

Penjaga Zoo, Pemandu Teksi Didakwa Beri Sokongan Kepada Kumpulan Pengganas

KUALA LUMPUR: Dua lelaki pada Khamis dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang di sini di atas beberapa pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh, antara Februari dan Julai lepas.

Mohd Sharullizam Ramli, 30, seorang penjaga zoo didakwa dengan pengetahuan telah memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh melalui aplikasi Telegram dengan menggunakan nama 'Sharul'.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di 177-B5, Batu 11, Gombak, Selangor, antara 25 Mac dan 29 Jun lepas mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniatkan untuk kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Mohd Sharullizam yang diwakili peguam Samarudin Md Rejab turut didakwa memiliki bahan-bahan yang berunsur perbuatan keganasan dan berkaitan kumpulan pengganas Daesh iaitu pelekat kereta, bendera dan 'headband' berlogo Daesh.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu tempat sama, pada 1.20 tengah hari, 19 Julai lepas, mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak terhadap mana-mana item berkenaan, jika sabit kesalahan.

Pemandu teksi, Nor Mizan Panijan, 37, pula didakwa dengan pengetahuan telah memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh melalui aplikasi Telegram dengan menggunakan nama 'Ana Mr Zack Sabah' dan akaun Facebook miliknya dengan menggunakan nama akaun 'Zakaria Siyu Malizy'.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu didakwa melakukan kesalahan itu di Blok A02-05, Pangsapuri Laksamana Jaya, Batu Caves, Gombak, Selangor, antara 25 Mac dan 29 Jun lepas mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan.

Nor Mizan turut didakwa dengan pengetahuan telah mengendalikan secara tidak langsung harta pengganas yang bernama Muhammad Wanndy Mohamed Jedi, 26, dengan cara memasukkan wang tunai sebanyak RM70 dan RM20 ke akaun Maybank milik dua individu lain bagi manfaat pengganas terbabit.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah mesin deposit tunai Maybank di Ground Floor, Menara Hup Seng, Jalan P. Ramlee, di sini, antara 1 Februari dan 4 April lepas.

Bagi pertuduhan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130Q(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak terhadap mana-mana harta berkenaan, jika sabit kesalahan.

Nor Mizan juga didakwa memiliki bahan-bahan yang berunsur perbuatan keganasan dan berkaitan kumpulan pengganas Daesh di dalam dua telefon bimbit dan sebuah tablet miliknya di alamat kediaman yang sama pada 7.20 malam, 15 Julai lepas mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh yang hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Iriane Isabelo.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Khairul Azhwa Yusrie tidak menawarkan sebarang jaminan.

Mahkamah tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin kerana  kesalahan mereka adalah mengikut Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan menetapkan 26 Sept untuk sebutan semula kes. - BERNAMA 
penjaga zoo, Daesh, pemandu teksi

Artikel Berikut

Artikel Lain